Berita Auto

Hongqi H9+ Muncul di Beijing Auto Show

Beijing Auto Show akhirnya membuka tirainya pada hujung minggu lalu setelah ditangguhkan selama lima bulan akibat pandemik koronavirus. Seperti tahun-tahun sebelumnya, acara permotoran yang diadakan di ibu negara China itu menjadi pentas bagi kemunculan pelbagai kenderaan jenama asing dan tempatan. Sebuah kereta yang menarik perhatian kami adalah Hongqi H9+.

Digelar sebagai model flagship jenama Hongqi, H9+ secara asasnya adalah versi ‘long wheelbase’ kepada model H9 yang diperkenalkan pada awal tahun ini. Memandangkan H9 dibina berasaskan Audi A6, model terbaru ini berkemungkinan besar menggunakan A6L sebagai asas. Ukuran dimensi sebenar tidak didedahkan, namun laporan mengatakan bahawa varian ini mempunyai ‘wheelbase’ yang 20 cm lebih panjang.

Bukan hendak menuduh yang jurureka Hongqi meniru rekaan syarikat lain namun jika anda lihat dengan teliti, H9+ mempunyai beberapa persamaan dengan Rolls-Royce Phantom, terutamanya pada bahagian hadapan di mana sepasang lampu berbentuk segi empat yang langsing mengapit gril yang besar. Gril tersebut mempunyai slat yang menegak, sama seperti gril Phantom. Tidak dilupakan adalah kemasan dua tona, satu lagi ciri yang dipopularkan oleh sedan Rolls-Royce itu.

Jika dilihat dari sisi, anda akan nampak kemasan krom berbentuk kayu hoki di sepanjang bahagian bawah badan kereta ini. Ia jelas diinspirasikan oleh BMW 7 Series. Sementara itu, rekaan bumbung fastbacknya pula mengingatkan kami kepada Kia K900 dan Jaguar XJ.

Bahagian belakang pula nampak lebih kemas dan bersih, dengan jalur krom yang bertindak untuk membuatkan kereta ini tampak lebih lebar. Walaupun kehadiran empat muncung ekzos itu mungkin menandakan kehadiran enjin yang berkuasa, ia bukanlah seperti yang disangka.

Sebelum itu, bahagian dalaman H9+ turut mengenakan upholsteri dua tona – warna merah pada bahagian atas papan pemuka, stereng dan tombol gear, dan warna putih untuk bahagian-bahagian lain. Upholsteri kulit dan kemasan kayu menaikkan lagi suasana mewah kabin, manakala kluster instrumen digital dan skrin infotainmen yang besar memastikan pemandu mendapat segala informasi yang diperlukan dengan jelas.

Di belakang pula, penumpang dijamin dapat menikmati perjalanan yang selesa dengan adanya kerusi kapten yang empuk dan sistem infotainmen sendiri yang merangkumi sepasang skrin yang dipasang pada bahagian belakang kerusi hadapan. Kerusi kapten tersebut dipisahkan oleh konsol tengah yang menampilkan panel kawalan serta pemegang gelas champagne.

Dari segi trenkuasa, H9+ boleh didapati dengan dua pilihan enjin – sebuah enjin supercharged berkapasiti 3.0-liter V6 dengan 272 hp dan 400 Nm, dan enjin turbo 2.0-liter empat silinder yang menghasilkan 252 hp dan 380 Nm. Kedua-duanya dilihat tidak sesuai dan sudah tentu tidak mempunyai kuasa yang cukup untuk menggerakkan kereta mewah yang besar ini dengan mudah.

Previous post

Shell Helix Ultra Professional Kini di Malaysia

Next post

Volkswagen Golf Mk8 Dikesan Sedang Diuji di Kuantan

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *