Trak Pikap, Van, MPV, Bas & Lori

Farizon FX – Trak Pikap Berasaskan Geely Boyue Pro

Sebagai pasaran automotif terbesar dunia, China menyaksikan kehadiran pelbagai jenis kenderaan unik yang tidak boleh didapati di mana-mana pasaran lain. Sebahagian daripadanya nampak biasa sahaja, malah serupa dengan dengan apa yang pasaran lain ada (dengan beberapa perubahan spesifik untuk pasaran China), manakala sebahagian lagi akan membuatkan anda tergaru-garu kepala dalam kebingungan. Contohnya, trak pikap pelik yang dikenali sebagai Farizon FX ini.

Menurut CarNewsChina.com, Farizon adalah sebuah jenama yang bernaung di bawah Geely Commercial yang merupakan divisyen kenderaan komersial Geely. FX pula adalah trak pikap yang berasaskan Geely Boyue Pro. Jika sesetengah pengeluar lain menggunakan trak pikap untuk menghasilkan SUV, jenama ini pula melakukan yang sebaliknya. Maka lahirlah sebuah trak pikap dengan rupa yang ganjil ini.

Pada hemat kami, apa yang silap di sini adalah Geely dilihat seolah-olah hanya ‘menampal’ ruang kargo (bed) yang agak pendek pada bahagian belakang Boyue Pro, sekaligus memberikan FX profil sisi yang agak hodoh. Ruang kargo tersebut menampilkan kemasan kayu pada lantai dan penutup tonneau. Selain daripada itu, tidak banyak perubahan yang dilakukan pada model itu bagi membuatkannya kelihatan berbeza dengan SUV itu.

Perkara yang sama juga boleh dikatakan untuk ruang dalaman, yang nampaknya seperti diambil terus daripada Boyue Pro tanpa sebarang perubahan yang ketara. Ini bermakna, pembeli FX akan mendapat tahap kelengkapan yang sama seperti stereng ‘flat bottom’ dengan logo Geely hitam, tombol gear rekaan terbaru, skrin sistem infotainmen yang besar serta upholsteri kulit. Trak pikap ini dikatakan mempunyai tapak roda (wheelbase) yang sama dengan SUV itu, bermakna keluasan ruang kabinnya tidak terjejas.

Seperti Boyue Pro, Farizon FX dikuasakan oleh enjin turbo 1.8-liter yang menghasilkan 184 hp dan 300 Nm. Dilengkapi dengan transmisi klac berkembar (DCT) tujuh kelajuan, ia mampu memecut sehingga 150 km/j.

FX nampaknya sudah mula dijual di China dengan harga bermula dari 126,900 yuan (RM77,360) hingga 136,900 yuan (RM83,460). Tekaan kami, ia tidak akan dijual di pasaran lain kecuali di negara asalnya.

Previous post

MINI Electric First Edition Dilancarkan Pada Harga RM238,380

Next post

Mercedes-Benz GLB 200 dan GLB 250 Masuk Pasaran Malaysia

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *