Berita Auto

Dua Model Mercedes-Benz GLE Coupe Masuk Pasaran Malaysia

Mercedes-Benz Malaysia hari ini melancarkan dua model GLE Coupe iaitu GLE 450 4Matic Coupe dan GLE 53 4Matic+ Coupe. Harga masing-masing bermula dari RM661,009 dan RM737,357, selepas pengecualian cukai jualan 50%.

Dari segi penampilan, kedua-dua model ini tampil dengan kit badan AMG Line dan rim AMG berukuran 22 inci dalam rekaan yang berbeza. Bagaimanapun, sebagai sebuah model AMG sebenar, GLE 53 mendapat penambahan pakej AMG Night Package, ‘lip spoiler’ dan gril Panamericana.

GLE 450 4Matic Coupe (Luaran)

Untuk ruang dalaman, pakej AMG Line didatangkan standard pada kedua-dua model namun GLE 53 dibezakan menerusi penggunaan trim gentian karbon, stereng AMG Performance yang dibalut kulit Nappa dan panel pintu bercahaya AMG.

Antara kelengkapan standard yang boleh didapati termasuklah sistem pencahayaan ambien, sistem pendingin hawa automatik Thermotronic, pakej krom dalaman, tempat duduk hadapan boleh laras dengan fungsi memori dan penghadang matahari berkembar.

GLE 450 4Matic Coupe (Dalaman)

Sistem multimedia pula terdiri daripada sistem MBUX, Apple CarPlay, Android Auto, modul LTE untuk servis Mercedes me connect, sistem navigasi cakera keras dan informasi trafik secara langsung.

Kedua-dua GLE 450 dan GLE 53 dikuasakan oleh enjin turbo 3.0-liter enam silinder sebaris yang disokong oleh sistem mild-hybrid EQ Boost, namun kedua-duanya mempunyai jumlah kuasa yang berbeza.

GLE 53 4Matic+ Coupe (Luaran)

GLE 450 mempunyai 367 hp dari 5,500 hingga 6,100 rpm dan 500 Nm dari 1,600 hingga 4,500 rpm. Dengan transmisi automatik sembilan kelajuan 9G-Tronic, ia boleh memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 5.7 saat dan mencapai kelajuan maksimum 250 km/j.

Sementara itu, GLE 53 pula mendapat 435 hp pada 6,100 rpm dan 520 Nm dari 1,800 hingga 5,800 rpm. Kuasa disalurkan ke roda menerusi transmisi AMG Speedshift sembilan kelajuan dan sistem pacuan semua roda 4Matic+, membolehkan SUV ini melakukan pecutan 0-100 km/j dalam 5.3 saat. Kelajuan maksimum adalah sama iaitu 250 km/j.

GLE 53 4Matic+ Coupe (Dalaman)

Selain enjin, kedua-dua model ini juga dilengkapi dengan sistem suspensi udara Airmatic. Sistem keselamatan pula merangkumi kamera 360 darjah, Active Distance Assist DISTRONIC, Active parking assist with PARKTRONIC, Active Steering Assistant, Pre-Safe System dan pelbagai lagi.

Previous post

Kia Seltos Dibuka Untuk Tempahan

Next post

Mercedes-Benz GLS 450 4Matic Dilancarkan

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *