Berita Auto

BMW 128ti Bakal Cabar Golf GTI

Dengan 306 PS dan 450 Nm, BMW M135i xDrive sememangnya ‘hot hatch’ yang seronok dipandu namun ia mungkin terlalu berkuasa untuk sesetengah orang. Untuk itu, BMW bakal memperkenalkan sebuah varian baharu iaitu 128ti.

Menurut BMW, 128ti kini dalam fasa ujian terakhirnya di Nurburgring. Diposisikan di bawah M135i xDrive, ia dikuasakan oleh enjin turbo 2.0-liter empat silinder yang menghasilkan 265 PS dengan jumlah tork masih belum didedahkan. Tekaan kami, jentera ini mempunyai sekitar 350 Nm.

Ini menjadikan 128ti seteru kepada Volkswagen Golf GTI yang mempunyai 245 PS dan Hyundai i30 N yang mempunyai 275 PS.

Enjin tersebut dipadankan dengan transmisi automatik Steptronic Sport lapan kelajuan dan limited-slip differential Torsen pada gandar hadapan. Oleh kerana ia tidak mempunyai sistem pacuan roda hadapan xDrive, 128ti adalah 80 kg lebih ringan. Ini secara tidak langsung membantunya memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 6.1 saat, hanya 1.3 saat lebih perlahan berbanding M135i.

Selain itu, 128ti juga mempunyai sistem suspensi M Sport yang lebih rendah sebanyak 10 mm dan penstabil (stabilisers) dari M135i xDrive. Ia juga dilengkapi ciri BMW Performance Control dan stereng yang ditala khas untuk menjadikannya lebih lincah. Kuasa membrek pula dibekalkan oleh sistem brek M Sport. Tayar sport akan ditawarkan secara pilihan kepada pelanggan.

Harga model ini juga masih belum diumumkan namun ia sudah tentu lebih murah berbanding M135i xDrive yang dijual pada harga RM355,646. Ia akan memasuki pasaran bermula November tahun ini.

Previous post

Ferrari Portofino M Tampil Dengan Pelbagai Naik Taraf

Next post

Bilik Pameran Toyota Taman Mayang Dinaik Taraf Menjadi Pusat 2S

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *