Motosikal / Lain Lain Roda

Yamaha TMAX Kacukan R1 Rekaan Lobomotive

Untuk bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain, skuter adalah pilihan yang paling logik untuk golongan urban kerana ia mampu untuk dimiliki, senang untuk ditunggang dan mempunyai tahap penggunaan bahan api yang rendah. Kebanyakan skuter di pasaran hari ini sudah cukup menarik namun jika anda mahu kelihatan lebih menonjol, kebolehannya untuk dikustom tidak terbatas.

Ambil Yamah TMAX ini sebagai contoh. Ia bermula sebagai sebuah skuter maxi yang biasa sahaja namun hasil modifikasi yang dilakukan membuatkannya kelihatan tidak ubah seperti sebuah superbike. Ia merupakan hasil kerja tangan Lobomotive, sebuah syarikat pembina motosikal kustom yang berpengakalan di Barcelona, Sepanyol.

Berasaskan model 2011, TMAX ini telah menjalani proses pengubahsuaian yang ekstensif bagi memuatkan bingkai kustom pada bahagian belakang dan ekor Yamaha R1. Bukan itu sahaja, sebahagian besar daripada badannya termasuk papan pemuka dan pelindung lengan ayun diperbuat sepenuhnya daripada gentian karbon. Dengan menggunakan bahan ringan ini, syarikat itu berjaya membuang lebihan berat sebanyak 25 kg.

Senarai kelengkapan yang ada pada skuter ini tidak kurang hebatnya. Bagi memberikannya ‘stance’ yang agresif, kedudukan tayar hadapan dan belakang dialih ke luar sebanyak 40 mm dengan pertolongan set pelanjut lengan ayun. Ini secara tidak langsung memberikan ruang kepada rim magnesium aloi OZ Racing berukuran 17 inci yang dibalut tayar Michelin Power Cup Evo.

Untuk suspensi pula, syarikat itu menaruh kepercayaan mereka kepada fork terbalik Showa BFF dan peredam YSS dengan takung berasingan pada lengan ayun. Peredam tersebut dihasilkan khas untuk projek ini.

Sistem brek pula terdiri daripada cakera karbon berkembar berukuran 330 mm pada bahagian hadapan dan cakera tunggal 220 mm pada bahagian belakang. Cakera-cakera ini dicengkam oleh angkup Brembo GP4-RX dengan penyaduran nikel seperti yang terdapat pada jentera MotoGP. Tak perlu kami katakan bahawa angkup ini sangat mahal.

Terletak di tengah-tengah bingkai aluminium, enjin 530 cc dua silinder sebaris tersebut turut menerima penambahbaikan dalam bentuk sproket aloi dan sistem ekzos baharu dengan ‘header’ Termignoni dan komponen Akrapovic. Jumlah kuasa tidak didedahkan namun ia pastinya lebih tinggi berbanding asal iaitu 46 hp dan 52 Nm.

Previous post

Toyota Dilaporkan Hentikan Pembangunan Enjin V8

Next post

Ram 1500 TRX Sedia Cabar Ford F-150 Raptor

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *