Trak Pikap, Van, MPV, Bas & Lori

Toyota Hilux 2020 Sudah Boleh Ditempah

Toyota Hilux versi 2020 telah dibuka untuk tempahan dengan lima varian ditawarkan, termasuk varian Double Cab 2.4 E A/T sebagai penawaran baharu.

UMW Toyota Motor turut melakukan perubahan pada barisan trak pikap itu dengan menggantikan Double Cab 2.8 Black Edition dan Double Cab 2.4 L-Edition dengan Double Cab 2.8 Rouge A/T dan Double Cab 2.4 V A/T.

Model ini boleh didapati dalam tujuh warna iaitu Bronze Mica Metallic (warna baharu), Crimson Spark Red Metallic, Attitude Black Mica, Phantom Brown Metallic, Medium Silver Metallic, Silver Metallic dan Super White II. Hilux Single Cab hanya boleh didapati dalam warna Solid White.

Antara komponen yang diberi penggayaan segar termasuklah bampar depan, gril serta kemasan lampu kabus. Bagi Double Cab 2.8 Rogue, lekuk pada bonetnya dan ‘skid plate’ adalah baharu. Untuk rim pula, varian paling asas menerima rekaan terkini dalam saiz 17 dan 18 inci.

Di dalam, perubahan paling ketara pada varian teratas adalah rekaan trim dan meter baharu, pencahayaan pada kemasan bukaan pintu serta bahagian penutup kunci. Varian paling asas menerima rekaan meter baru dengan paparan maklumat tambahan pada Multi Information Display (MID).

Enjin 1G-FTV 2.8-liter turbodiesel kini menjana 204 PS pada 3,400 rpm dan 500 Nm antara 1,600 rpm hingga 2,800 rpm, menunjukkan peningkatan sebanyak 27 PS dan 50 Nm berbanding sebelum ini.

Walaupun enjinnya lebih berkuasa, kadar penggunaan bahan api tidak meningkat. Malah, kecekapan penggunaan bahan api adalah lebih baik disebabkan penggunaan pam minyak dua-peringkat yang boleh menukar tekanan minyak mengikut kesesuaian. Penyejuk pra-EGR (Exhaust Gas Recirculation) sejukan cecair jenis paip berkembar turut dipasang untuk mengoptimumkan suhu gas EGR.

Sistem rak bantuan kuasa bagi stereng Hilux baru (kecuali bagi varian Single Cab) kini dilengkapi sistem Variable Flow Control (VFC) yang bertindak mengurangkan beban pada pam stereng kuasa, sekali gus menyumbang kepada penjimatan bahan api. Pada masa yang sama, stereng menjadi lebih ringan pada kelajuan rendah dan berat ketika trak bergerak laju.

Turut disertakan adalah Limited Slip Differential (LSD) automatik yang membantu melalui sistem kawalan cengkaman (TRC) untuk mengawal brek dan output enjin apabila satu daripada tayar belakang mula hilang cengkaman. Ia diaktifkan ketika dalam mod pemanduan High dan pacuan 2WD dengan kelajuan sehingga 50 km/j.

Dari segi keselamatan, Hilux kini dilengkapi dengan sistem Toyota Safety Sense yang terdiri daripada tiga rangkaian sistem berbeza; sistem pra perlanggaran (PCS), kawalan melayar radar dinamik (DRCC) serta amaran pertukaran lorong dengan ciri Yaw Assist.

Menurut UMW Toyota, harga anggaran bagi Hilux baharu bermula dari RM93,880 hingga RM148,880 untuk varian 2.8 Rogue. Pelanggan yang terawal boleh menikmati harga istimewa RM144,880 yang ditawarkan hanya untuk model Toyota Hilux D/CAB 2.8 Rouge AT 4×4 (jualan tahun 2020) sahaja.

Previous post

Toyota RAV4 Hybrid Black Edition Tampil Dengan Imej Jahat

Next post

Proton Lancar Pakej Kewangan Untuk Graduan Baharu

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *