Berita Auto

MINI Cooper SE Masuk Pasaran Malaysia

MINI Malaysia hari ini melancarkan model elektrik penuh pertama mereka iaitu MINI Cooper SE. Ia dijual pada harga RM218,380.78 selepas pengecualian cukai jualan.

Model ini dikuasakan oleh motor elektrik gandar hadapan yang menghasilkn 184 hp dan 270 Nm, membolehkannya memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 7.3 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 150 km/j.

Motor elektrik tersebut mendapat bekalan kuasa daripada unit bateri lithium-ion 12 modul berbentuk T dengan kapasiti bersih berjumlah 28.9 kWj. Satu cas penuh akan memberikan jarak pemanduan sejauh 234 km dengan penggunaan tenaga sebanyak 16.8 – 14.8 kWj bagi setiap 100 km.

Cooper SE menawarkan pelbagai alternatif pengecasan, sama ada di rumah
mahupun di fasiliti pengecasan awam. Masa yang diperlukan adalah untuk mencapai kapasiti 80% adalah 36 menerusi stesen pengecasan DC, dua jam setengah menerusi MINI Wallbox Plus dan 12 jam menerusi soket domestik.

Dari segi penampilan, Cooper SE menggunakan asas Cooper tiga pintu dengan elemen berwarna Energetic Yellow, bampar dan jeriji berwarna Vigorous Grey serta lencana E berwarna kuning. Bilah jeriji hadapan boleh didapati sama ada dalam warna Vigorous Grey atau Energetic Yellow.

Selain itu, ia juga dilengkapi dengan lampu hadapan Matrix LED dan lampu belakang LED dengan gubahan bendera Union Jack yang merupakan sebahagian daripada pakej Lights. Rim pula menampilkan rekaan MINI Electric Power Spoke dwitona bersaiz 17 dengan tayar ‘run flat’.

Ruang dalaman dihiasi dengan MINI Electric Cockpit Fascia, butang Mula/Henti MINI Electric berwarna kuning serta tuil gear dengan gubahan ‘Electric’.

Antara ciri keselesaan yang ditawarkan adalah penyaman udara automatik dua zon, kerusi Leather Cross Punch dalam warna Carbon Black serta pencahayaan ambien 12 warna. Stereng sport multifungsi dengan balutan kulit dan brek parkir elektrik terintegrasi juga disertakan sebagai standard.

Paparan sistem navigasi berukuran 8.8 inci menawarkan Teleservices, Remote Services, Intelligent Emergency Call, MINI Online serta Apple CarPlay. Turut disertakan adalah kluster instrumen digital, sistem audio Harman Kardon dan pengecas tanpa wayar.

Cooper SE merupakan model MINI yang pertama di Malaysia yang dilengkapi dengan sistem Bantuan Memandu. Pakej sistem bantuan memandu berasaskan kamera meliputi info had kelajuan, serta bantuan lampu puncak yang diaktifkan secara automatik pada kelajuan 50 km/j dan ke atas atau dalam keadaan pencahayaan yang kurang baik.

Selain itu, ia juga didatangkan amaran pejalan kaki dengan fungsi pembrekan ringan serta amaran kawalan penghampiran objek. Kedua duanya membekalkan keselamatan maksimum jika wujud potensi berlakunya perlanggaran dengan mempersiapkan brek untuk memberi tindak balas yang lebih pantas serta jarak pembrekan yang lebih singkat.

Previous post

Rekaan Ruang Dalaman Geely Preface Didedahkan

Next post

Malaysia Dapat 10 Unit MINI John Cooper Works GP

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *