Berita Auto

Jaguar XE Facelift Kini di Malaysia

Tujuh bulan selepas ia dilancarkan di Singapura, Jaguar XE versi facelift kini ditawarkan di Malaysia dalam satu varian sahaja iaitu R-Dynamic. Sedan sport ini dijual pada harga RM395,831.02 selepas pengecualian cukai jualan.

Mengekalkan bentuk keseluruhan seperti versi asal yang mula diperkenalkan pada 2015, XE kini tampil lebih lebar dan rendah dengan ambilan udara yang lebih besar, serta lampu LED baharu pada bahagian hadapan dan belakang. Lampu LED hadapan didatangkan dengan lampu nyalaan siang berbentuk ‘J’. Melengkapkan imej segar model ini adalah rim 18 inci baharu.

Untuk ruang kabin, terdapat rim dalam rekaan terkini seperti yang terdapat pada model I-Pace, tempat duduk sport dengan jahitan kontras, ‘paddle shifter’ dengan kemasan krom satin dan treadplate R-Dynamic.

Dari segi prestasi, XE R-Dynamic dikuasakan oleh enjin turbo Ingenium 2.0-liter empat silinder yang menjana 300 PS pada 5,500 rpm dan 400 Nm dari 1,500 hingga 4,500 rpm. Dengan transmisi automatik lapan kelajuan yang memacu roda belakang, ia mampu mencapai kelajuan maksimum 250 km/j.

Unit transmisi tersebut bukan sahaja mampu memberikan pecutan yang lancar dan tindak balas yang pantas, malah mempunyai peredam pendulum yang berkesan dalam menyerap gegaran frekuensi rendah.

Ciri Jaguar Drive Control membolehkan pemandu memilih mod pemanduan Comfort, Eco, Dynamic atau Rain, Ice, Snow. Setiap mod mempunyai program tersendiri yang mengubah tindak balas enjin dan pendikit, serta kawalan cengkaman dan stabiliti. Ia boleh diakses menerusi tombol yang terletak pada konsol tengah.

Ciri-ciri standard lain yang disertakan termasuk sistem infotainmen Touch Pro Duo dengan skrin sentuh berukuran 10 inci, Apple CarPlay, Android Auto, pengecas tanpa wayar, skrin 5.5 inci untuk kawalan sistem pendingin hawa, serta kluster instrumen digital Interactive Driver Display berukuran 12.3 inci.

Previous post

Perbezaan Kulit Dengan Kulit Nappa Dijelaskan Secara Terperinci

Next post

Honda Vario 150 Kini Dalam Tiga Warna Baharu

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *