Trak Pikap, Van, MPV, Bas & Lori

Isuzu D-Max Stealth Edisi Terhad Dilancarkan di Malaysia

Isuzu Malaysia hari ini melancarkan model edisi terhad Isuzu D-Max Stealth yang direka untuk mereka yang gemarkan penampilan yang menonjol dan agresif.

Menggunakan varian 4X4 Premium A/T sebagai asas, model ini akan ditawarkan dalam jumlah yang terhad iaitu sebanyak 180 unit sahaja. Ia boleh didapati dalam dua warna iaitu Stallion Black Metallic dan Silky White Pearl.

Bagi mendapatkan imej yang garang, D-Max Stealth hadir dengan kemasan hitam pada gril hadapan, lampu utama, lampu kabus, bampar hadapan, rel bumbung dan bampar belakang. Turut disertakan adalah jalur perak yang menghiasi lampu dan gril, serta spoiler hadapan.

Ia juga didatangkan dengan rim aloi berukuran 18 inci lengkap dengan cetakan timbul nama Stealth, serta set pelekat Stealth pada bahagian pintu dan juga ‘tailgate’. ‘Tailgate’ tersebut mempunyai ciri sentuhan ringan bagi memudahkan ia dibuka dan ditutup.

Satu lagi ciri menarik D-Max Stealth adalah pemijik sisi boleh alih yang memudahkan penumpang untuk keluar dan masuk. Pemijak tersimpan kemas di bawah badan trak ketika pintu ditutup dan ditarik keluar secara automatik apabila pintu dibuka.

Suasana di dalam kabin diserlahkan menerusi penggunaan upholsteri kulit/fabrik berwarna merah dan hitam, serta pelapik bumbung kelabu. Trim hitam berkilat pada papan pemuka dan panel pintu turut digunakan agar selari dengan tema keseluruhan. Tombol kawalan pendingin hawa diberikan penyudah krom.

Antara kelengkapan yang disediakan termasuk perakam video digital (DVR) berdefinisi tinggi pada bahagian hadapan dan belakang. Ia akan mula merakam secara automatik ke dalam kad SD 32GB sebaik sahaja enjin dihidupkan.

Perakam tersebut juga mempunyai ciri pengesan pergerakan yang boleh merakam ketika kenderaan diparkir sekiranya ada pergerakan dalam lingungkan sudut 140 darjah atau ketika ia mengesan imapk pada kenderaan. Rakaman boleh dimainkan semula pada telefon menerusi sambungan Wifi dengan aplikasi IROAD yang boleh dimuat turun dari Apple App Store atau Google Play.

D-Max Stealth turut mempunyai Peninjau Sekeliling (AVM) dengan Panduan Imej 3D yang menggunakan empat kamera di sekeliling kenderaan bagi membantu pemandu mengemudi kenderaan. Ia akan memaparkan sudut pandangan dari atas atau 3D sekiranya gear undur dipilih atau dengan menekan butang pada papan pemuka.

Tambahan lain adalah sensor parkir hadapan yang boleh membantu pemandu meletakkan kenderaan di ruang yang sempit. Sensor ini akan diaktifkan secara automatik apabila kenderaan mula bergerak dan akan dimatikan pada kelajuan melebihi 25 km/j. Ia akan diaktifkan semula ketika kenderaan bergerak pada kelajuan 20 km/j. Pemandu bagaimanapun boleh mematikan sensor ini secara manual.

Isuzu D-Max Stealth ditawarkan pada harga RM125,799.20 (harga atas jalan, tidak termasuk insurans) untuk Semenanjung Malaysia, atau RM128,176.20 untuk Sabah dan RM128,220.30 untuk Sarawak.

Pelanggan terawal (pendaftaran persendirian sahaja) akan menerima ‘sport roll bar’ atau boleh memilih untuk membeli penutup T-Lid bernilai RM5,500 pada harga RM2,000 sahaja.

Previous post

Nikmati Pelbagai Tawaran Menarik Menerusi Kempen 'Add Indepence' MINI Malaysia

Next post

Memperkenalkan T.50 oleh Gordon Murray - Pereka McLaren F1

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *