Berita Auto

Gordon Murray Automotive T.50 Adalah Jelmaan Moden McLaren F1

Gordon Murray Automotive (GMA), syarikat yang diasaskan oleh pereka McLaren F1 iaitu Professor Gordon Murray, telah memperkenalkan supercar yang dikenali sebagai T.50.

Oleh kerana ia direka oleh orang yang sama, jadi tidak hairanlah T.50 mempunyai beberapa persamaan dengan McLaren F1. Ini termasuk bahagian hadapan yang rendah dengan lubang udara pada bahagian kiri dan kanan bampar, pintu dihedral yang dibuka ke atas serta skup bumbung yang berfungsi untuk mengalirkan udara ke ruang enjin di belakang.

Seperti F1, T.50 turut menggunakan susun atur tiga tempat duduk dengan tempat duduk pemandu berada di tengah-tengah kokpit. Reka bentuk cermin penghadang angin hadapan yang luas dan tingkap sisi juga tidak jauh berbeza dengan supercar klasik itu.

T.50 merupakan antara supercar paling ringan dalam kelasnya, dengan berat keseluruhan hanya 968 kg. Menurut Gordon Murray, kira-kira 150 kg daripada jumlah tersebut disumbangkan oleh casis monocoque dan panel badan yang diperbuat daripada gentian karbon.

Kuasa dibekalkan oleh enjin NA berkapasiti 3.9-liter V12 yang dibangunkan khas oleh Cosworth, bermakna ia tidak berkongsi komponen dengan mana-mana enjin lain. Dengan redline mencecah 12,100 rpm, enjin tersebut mampu menjana 663 PS dan 467 Nm.

Enjin tersebut dipadankan dengan transmisi manual enam kelajuan Xtrac. Lima gear pertama mempunyai nisbah rapat bagi membantu pecutan manakala gear keenam diberikan nisbah yang lebih panjang untuk pemanduan secara ‘cruising’. Turut disertakan adalah pedal titanium.

Satu lagi keunikan T.50 adalah sebuah kipas berukuran 400 mm yang terletak pada bahagian belakang. Gordon Murray mendakwa bahawa dengan bantuan spoiler aktif dan diffuser ia mampu meningkatkan ‘downforce’ sebanyak 50% atau 100% dalam Braking Mode.

Bukan itu sahaja, kipas tersebut juga mampu mengurangkan daya seretan sebanyak 12.5%, memendekkan jarak membrek sebanyak 10 meter pada kelajuan 241 km/j dan yang paling penting, memberikan kuasa tambahan sebanyak 50 PS.

Dalam era moden di mana kebanyakan supercar dikuasakan oleh sistem hibrid dan hanya boleh didapati dengan transmisi automatik, T.50 sememangnya mengagumkan. Tetapi dengan harga bermula £2.36 juta (RM13 juta) dan pengeluaran yang terhad kepada 100 unit sahaja, ia hanya untuk mereka yang benar-benar kaya.

Previous post

Kia Sonet Adalah Crossover Yang Terbaharu Yang Dibuat Di India

Next post

BMW Malaysia Lancar Perkhidmatan Pintu ke Pintu

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *