Berita Auto

COVID-19: Rakyat Malaysia Masih Ragu-Ragu Guna Pengangkutan Awam

Rakyat Malaysia masih ragu-ragu untuk menaiki pengangkutan awam ketika dunia masih berdepan dengan COVID-19 dan lebih gemar memandu kenderaan sendiri sebagai langkah keselamatan. Hasil tinjauan oleh WapCar mendapati sebilangan besar responden lebih cenderung untuk berbelanja dengan lebih berhemah dan berjimat cermat untuk pembelian sebuah kereta.

Hasil kajian turut menyokong trend jualan kereta serta permintaan kereta terpakai di Malaysia yang menunjukkan peningkatan pada bulan Jun. Baru-baru ini, Persatuan Automotif Malaysia (MAA) melaporkan jumlah jualan pada Jun 2020 telah meningkat 5% berbanding Jun 2019.

Pada masa yang sama, Persekutuan Persatuan Syarikat Kereta dan Kredit Malaysia (FMCCAM) melaporkan terdapat pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 100% pada bulan Jun bagi jualan kereta terpakai. MAA menjangkakan jumlah jualan pada Julai 2020 akan lebih baik, terutamanya bagi kereta dengan harga berpatutan serta jimat minyak. Pengecualian cukai jualan oleh kerajaan sehingga akhir tahun turut membantu meningkatkan lagi permintaan.

Orang ramai dalam situasi sukar

Hasil kajian menunjukkan seramai 57.9% daripada responden mengatakan bahawa mereka tidak akan menaiki pengangkutan awam pada masa ini dan 32.7% tetap akan menggunakan pengangkutan awam walaupun mereka khuatir tentang keselamatan mereka atas risiko jangkitan COVID-19.

Daripada 318 responden, 55.4% mengatakan mereka akan mempertimbangkan semula rancangan untuk membeli kereta baharu dalam tempoh enam bulan akan datang.

Lebih berhemah – model kereta berpatutan adalah pilihan terkini

Kajian oleh WapCar menyokong laporan dari MAA yang mengatakan trend jualan kereta lebih cenderung kepada kereta yang berpatutan dan jimat minyak. Hampir 47% daripada responden memilih untuk berbelanja kurang dari RM100,000 untuk pembelian kereta seterusnya.

83% daripada responden bersetuju bahawa harga dan diskaun adalah faktor penting yang akan mempengaruhi keputusan mereka dalam pembelian kereta sewaktu musim pandemik ini. Pengecualian cukai jualan oleh kerajaan dijangka akan membantu meningkatkan industri automotif.

Spesifikasi dan prestasi kereta (74%) serta ketahanan dan penjimatan minyak kereta (63%) juga adalah faktor penting. Data dari WapCar menunjukkan dalam tempoh 9 Mac sehingga 30 Jun 2020, terdapat peningkatan carian bagi model yang praktikal dan harga berpatutan.

Di antara 10 kereta paling dicari di Malaysia, sembilan daripadanya mempunyai harga permulaan di bawah RM100,000. Sembilan model tersebut adalah Honda City, Nissan Almera, Perodua Bezza, Perodua Axia, Perodua Aruz, Proton X50, Proton X70, Proton Saga dan Toyota Vios.

Jenama kereta perlu tingkatkan servis khidmat pelanggan

Kajian menunjukkan bahawa 70% daripada responden bimbang dengan keadaan ekonomi dan kebimbangan ini telah mempengaruhi keputusan mereka untuk membeli kereta baharu. Hampir 50% daripada mereka lebih berhati-hati dalam berbelanja dan lebih suka menyimpan untuk kecemasan daripada berbelanja untuk barang mahal seperti kereta dalam tempoh enam bulan akan datang.

Jenama kereta perlu meningkatkan servis khidmat pelanggan mereka untuk memikat orang ramai membeli kereta baharu serta bersaing dengan kereta terpakai yang jauh lebih murah.

Majoriti daripada responden sukakan kemudahan yang tidak memerlukan mereka untuk berada di bilik pameran kereta. Selain dari bilik pameran atas talian (42.1%) dan kemudahan penyelesaian kewangan atas talian (55%), lebih 59% daripada responden mengatakan pandu uji dari rumah dan penghantaran kereta terus ke pelanggan adalah antara servis yang mereka mahukan dari jenama kereta.

Kemajuan teknologi dan keperluan untuk penjarakan fizikal telah meningkatkan minat untuk membeli kereta atas talian yang dibantu dengan Realiti Maya (VR) atau Realiti Terimbuh (AR) untuk pandu uji secara maya dan secara langsung.

Previous post

Porsche 911 GT3 RS Oleh Manthey Racing

Next post

Subaru WRX Club Sport Dilancarkan di Australia

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *