Cerita Auto

VOTY 2020//SUV 7 Tempat Duduk Tahunan – Hyundai Santa Fe

Hyundai Santa Fe generasi keempat yang dilancarkan di Malaysia pada tahun lalu dipilih sebagai pemenang kategori ini kerana ia menawarkan gabungan kualiti binaan, pakej dan prestasi yang lebih baik berbanding pesaing-pesaingnya. Reka bentuknya yang menarik perhatianjuga mencerminkan sejauh mana Hyundai telah maju sebagai sebuah pengeluar automotif dari Asia.

Sebagai sebuah SUV yang menawarkan tujuh tempat duduk, Santa Fe mempunyai ruang kabin yang cukup luas dan selesa untuk seisi keluarga. Namun apa yang membuat kami lebih kagum adalah kemampuannya untuk memasuki kawasan-kawasan pedalaman seperti yang dibuktikan ketika sesi pandu uji media di Hutan Simpan Kenaboi tahun lalu. Ini sekaligus menjadikannya SUV urban yang versatil.

Hyundai Santa Fe

Walaupun tidak dilengkapi dengan turbo, enjin petrol berkapasiti 2.4-liter yang digunakan sudah cukup untuk memberikannya pemanduan yang mantap, ditambah pula dengan transmisi automatik lapan kelajuan yang cekap. Sistem HTRAC pula memastikan yang kenderaan ini sentiasa mempunyai tahap cengkaman yang secukupnya.

Ditawarkan dalam empat varian, harga didatangkan dengan harga yang boleh dikatakan kompetitif dan memadai dengan apa yang ditawarkan. Antara ciri yang menarik perhatian adalah Rear Cross Traffic Collision Warning (RCCW), Blind Spot Collision Warning (BCW) dan Rear Occupant Alert (ROA) yang bertindak dengan membunyikan amaran sekiranya anda terlupa tentang anak anda di tempat duduk belakang.

Spesifikasi Hyundai Santa Fe 2.4L Premium

Enjin: 16-injap, empat silinder DOHC
Kapasiti: 2,359 cc
Kuasa: 170 hp @ 6,000 rpm
Tork: 225 Nm @ 4,000 rpm
Transmisi: Automatik 6 kelajuan
0-100 km/j: –
Kelajuan maksimum: –
Harga: RM189,888

Bagaimana pemenang Vehicle of the Year (VOTY) dipilih:

Proses kami mudah dan telus.

Semua kereta yang dilancarkan dalam tempoh 13 bulan dari 2019 adalah layak. Kami menghubungi semua syarikat kereta yang beroperasi di negara ini untuk meminta kenderaan untuk dipandu uji. Tiada yuran penyertaan dan syarikat tidak perlu membeli meja untuk majlis tersebut. Apa yang diperlukan adalah kereta baharu dan kebenaran untuk kami mengujinya.

Kira-kira sebulan sebelum acara berlangsung, keempat-empat juri dari DSF.my dan gohedgostan.com (Daniel Sherman Fernandez, Ross Hadi, Subhash Nair dan Amirul Mukminin) membincangkan pemenang bagi setiap kategori. Juri hanya boleh mengundi kereta yang telah diuji. Mana-mana model yang mendapat majoriti mudah akan dipilih sebagai pemenang kategori masing-masing.

Penaja utama kami iaitu Allianz mengiktiraf integriti pasukan kami dan semua pihak yang terlibat dalam menentukan pemenang. Kami berharap anda menghargai usaha setiap pihak yang terlibat dan memberi maklum balas bagaimana anugerah ini boleh dimantapkan lagi pada masa akan datang.

Tahun ini, disebabkan pandemik COVID-19, kami terpaksa menangguhkan acara penyampaian anugerah VOTY dan telah memilih untuk menstrim acara tersebut secara langsung menerusi Facebook dan Youtube. Ini menjadikan VOTY acara anugerah automotif pertama yang distrim secara langsung di rantau ASEAN.

Previous post

Anugerah VOTY LIVE Di FB DSF.my Pada 9 Julai 2020 11 pagi

Next post

VOTY 2020//Crossover Tahunan - Mazda CX-30

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *