Berita Auto

VOTY 2020//Sedan Eksekutif Tahunan – Lexus ES 250

Bersaing dalam segmen sedan eksekutif bukanlah sesuatu yang mudah terutamanya jika dihadiri oleh model-model keluaran Jerman yang sudah tentu mempunyai reputasi yang tinggi di negara ini. Bagaimanapun, Lexus membuktikan yang ia mampu memberi tentangan hebat dengan ES 250.

Dari segi penampilan, jeriji ‘spindle’ yang merupakan tanda dagang Lexus nampak serasi dengan rekaan keseluruhan sedan ini manakala kemasan krom pada cermin sisi, bingkai tingkap dan bampar membuatkan ia kelihatan cukup bergaya. Mungkin ada yang kurang suka dengan rekaan jeriji tersebut namun bagi kami ia adalah sebagai peneman kepada garisan-garisan tajam yang terdapat pada badan ES 250.

Begitu juga dengan ruang kabinnya, di mana rekaan yang terperinci di segenap sudut sedikit sebanyak menyumbang kepada kemewahan. Ini ditambah lagi dengan penggunaan material yang terasa mahal dan kena dengan status jenama Lexus seperti karpet lantai yang tebal, upholsteri kulit yang berkualiti serta tombol kawalan sistem audio yang berat.

Senarai kelengkapannya juga tidak mengecewakan. Untuk harganya, anda mendapat bumbung suria, pengecas wayarles, kluster instrumen digital, skrin infotainmen berukuran 12.3 inci, paddle shifter dan pelbagai lagi.

Dilengkapi dengan enjin NA, ia mungkin tidak sepantas pesaingnya yang dikuasakan oleh enjin turbo namun ES tetap mempamerkan prestasi pemanduan yang berkualiti yang dirasakan sesuai untuk mereka yang lebih matang. Tidak seperti pesaing-pesaingnya dari Jerman yang mempunyai pemanduan lebih sporty, ES lebih sesuai dianggap sebagai ‘cruiser’ yang selesa untuk perjalanan jauh.

Spesifikasi Lexus ES250

Enjin: NA, empat silinder, DOHC
Kapasiti: 2,487 cc
Kuasa: 204 hp @ 6,600 rpm
Tork: 247 Nm @ 5,000 rpm
Transmisi: automatik 8 kelajuan
0-100 km/j: 9.1 saat
Kelajuan maksimum: 210 km/j
Harga: RM332,888

Bagaimana pemenang Vehicle of the Year (VOTY) dipilih:

Proses kami mudah dan telus.

Semua kereta yang dilancarkan dalam tempoh 13 bulan dari 2019 adalah layak. Kami menghubungi semua syarikat kereta yang beroperasi di negara ini untuk meminta kenderaan untuk dipandu uji. Tiada yuran penyertaan dan syarikat tidak perlu membeli meja untuk majlis tersebut. Apa yang diperlukan adalah kereta baharu dan kebenaran untuk kami mengujinya.

Kira-kira sebulan sebelum acara berlangsung, keempat-empat juri dari DSF.my dan gohedgostan.com (Daniel Sherman Fernandez, Ross Hadi, Subhash Nair dan Amirul Mukminin) membincangkan pemenang bagi setiap kategori. Juri hanya boleh mengundi kereta yang telah diuji. Mana-mana model yang mendapat majoriti mudah akan dipilih sebagai pemenang kategori masing-masing.

Penaja utama kami iaitu Allianz mengiktiraf integriti pasukan kami dan semua pihak yang terlibat dalam menentukan pemenang. Kami berharap anda menghargai usaha setiap pihak yang terlibat dan memberi maklum balas bagaimana anugerah ini boleh dimantapkan lagi pada masa akan datang.

Tahun ini, disebabkan pandemik COVID-19, kami terpaksa menangguhkan acara penyampaian anugerah VOTY dan telah memilih untuk menstrim acara tersebut secara langsung menerusi Facebook dan Youtube. Ini menjadikan VOTY acara anugerah automotif pertama yang distrim secara langsung di rantau ASEAN.

Previous post

Anugerah VOTY LIVE Di FB DSF.my Pada 9 Julai 2020 11 pagi

Next post

VOTY 2020//Crossover Tahunan - Mazda CX-30

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *