Berita Auto

Shell Helix Power dan Shell Helix Protect Beri Lebih Pilihan Kepada Pengguna

Shell Malaysia Trading Sdn Bhd telah memperkenalkan dua jenis minyak enjin Shell Helix baharu iaitu Shell Helix Power dan Shell Helix Protect.

Barisan minyak enjin baharu ini dihasilkan khusus untuk dua keadaan pemanduan utama, iaitu di lebuh raya dan laluan sukar yang memerlukan kuasa dan daya pecutan yang lebih; atau lalu lintas terhenti-henti di bandar yang menyebabkan tekanan tinggi pada enjin dan perlindungan lebih diperlukan.

Kedua-duanya sesuai digunakan untuk kebanyakan jenis kereta di Malaysia dan sesuai dengan spesifikasi minyak 0W, 5W ataupun 10W.

“Dengan Shell Helix Power dan Shell Helix Protect baharu, matlamat kami ialah untuk mengembalikan proses pilihan minyak enjin kepada pemilik kereta. Sebagaimana yang tertera di label pek, satu produk menjanjikan lebih kuasa manakala produk yang satu lagi pula menawarkan lebih perlindungan. Anda hanya perlu memilih produk yang paling sesuai dengan cara pemanduan atau keperluan anda,” kata Nyon Kam Yew, Pengurus Besar Shell Lubricants bagi Malaysia dan Singapura.

Shell Helix Power menggunakan rumusan khas berfokus kepada prestasi yang memaksimumkan kuasa enjin dan memberikan pecutan yang lebih pantas untuk pemanduan yang lebih lancar di lebuh raya, kawasan berbukit dan jalan-jalan terbuka. Harga runcit bagi pek 4 liter ialah RM280.

Rumusan Shell Helix Protect yang berfokus kepada perlindungan pula mampu membersihkan komponen enjin untuk memanjangkan hayat enjin kereta yang sering mengalami keadaan trafik yang sesak di kawasan bandar. Harga runcit yang disyorkan bagi pek 4 liter produk ini ialah RM240.

Kedua-dua produk ini adalah minyak enjin sintetik sepenuhnya yang berkelikatan rendah dengan aliran yang lebih pantas untuk menyaluti dan melindungi komponen penting semasa enjin dihidupkan. Ini dapat mengurangkan kehausan enjin yang disebabkan oleh permulaan sejuk, mengurangkan penggunaan bahan api, mengurangkan kadar pelepasan karbon dan kos penyenggaraan juga akan lebih rendah dengan perlindungan enjin yang lebih tinggi.

Shell Malaysia turut mengadakan promosi menarik sempena pelancaran produk tersebut. Mulai hari ini, dengan pembelian pek 4 liter Shell Helix Power atau Shell Helix Protect dari mana-mana bengkel yang mengambil bahagian, pelanggan akan menerima hadiah percuma sebuah replika kereta lumba Scuderia Ferrari, sementara stok masih ada.

Di samping itu, Shell Malaysia juga menjalankan inisiatif #BecauseWeCare sempena pelancaran Shell Helix Power dan Shell Helix Protect baharu. Shell telah mengedarkan minyak enjin baharu tersebut dan Pek Perlindungan Shell Helix secara percuma kepada pemandu Grab.

Previous post

Ford Bronco Sport - SUV Kompak Yang Cukup Lasak

Next post

Perodua Hulur Sumbangan Kepada Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *