Berita Auto

Proton Saga Sambut Ulang Tahun ke-35

Bagi sesetengah individu, tarikh 9 Julai 1985 mungkin tidak memberikan apa-apa makna kepada mereka namun bagi Malaysia, ia menandakan tarikh bersejarah apabila mula menjadi antara negara yang mempunyai kemampuan untuk mengeluarkan kereta buatan sendiri. Ia adalah hari di mana Proton Saga mula dikeluarkan, kira-kira dua tahun selepas penubuhan Perusahaan Otomobil Nasional (PROTON).

PROTON adalah cetusan idea daripada perdana menteri keempat Malaysia iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad pada tahun 1979 untuk menjadi pembuat kereta nasional bagi membantu meningkatkan perindustrian negara. Kelulusan kabinet berjaya diperolehi pada tahun 1982 dan pada 7 Mei 1983, syarikat automotif pertama Malaysia ditubuhkan.

Pengeluaran Proton Saga pertama dibina di atas landasan Mitsubishi selepas pengeluar kereta Jepun itu bersetuju mewujudkan usaha sama dengan HICOM untuk menghasilkan kereta pertama Malaysia.

Model tersebut mendapat sambutan luar biasa dalam kalangan pembeli kereta di Malaysia dan pada 16 Mac 1989, ia dilancarkan pula di United Kingdom di mana sasaran jualan bagi 12 bulan di negara itu berjaya dicapai hanya dalam tempoh enam bulan.

Pada Ogos tahun lalu, model tersebut ditambah baik secara menyeluruh dan sejak itu, jumlah tempahan diterima hampir sama dengan keluaran terdahulu.

Malahan, untuk bulan Mei 2020, Saga merupakan kereta paling laris di Malaysia dan pada bulan Jun, ia berjaya mencapai jumlah jualan bulanan tertinggi dalam tempoh 70 bulan.

Secara kumulatif, lebih dari 1,800,000 unit telah terjual dalam tempoh 35 tahun dan PROTON yakin bahawa model ini akan kekal menjadi buah mulut pengguna untuk sekurang-kurangnya 35 tahun lagi.

Jadi, apakah rancangan seterusnya? Jangan lupa untuk mengikuti laman rasmi Facebook PROTON pada 9 Julai 2020, jam 10.35 pagi untuk ketahui lebih lanjut.

Previous post

Alat Ganti Toyota 2000GT Akan Dihasilkan Semula

Next post

Hyundai Perkenalkan Gear Manual Tanpa Injak Klac

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *