Berita Auto

Porsche 718 Cayman GT4 dan 718 Spyder Dilancarkan

Sime Darby Auto Performance (SDAP), pengedar rasmi kenderaan Porsche di Malaysia telah melancarkan dua model ‘flagship’ bagi rangkaian 718 iaitu 718 Cayman GT4 dan 718 Spyder, masing-masing berharga RM999,000 dan RM970,000.

Kedua-dua model didatangkan dengan enjin yang sama iaitu enjin NA 4.0-liter enam silinder yang menghasilkan 420 PS pada 7,600 rpm dan 420 Nm dari 5,000 hingga 6,800 rpm. Ini mewakili peningkatan sebanyak 35 hp bagi Cayman GT4 dan 45 hp bagi Spyder jika dibandingkan dengan versi terdahulu.

Hanya satu transmisi ditawarkan iaitu manual enam kelajuan yang dilengkapi dengan teknologi pemadanan rev (rev-matching). Dari segi prestasi, kedua-dua jentera boleh melakukan pecutan 0-100 km/j dalam 4.4 saat, manakala kelajuan maksimum adalah 304 km/j bagi Cayman GT4 dan 301 km/j bagi Spyder.

Dari segi aerodinamik, Cayman GT4 mempunyai diffuser berfungsi yang boleh menjana 30% downforce pada gandar belakang, manakala sayap tetap menjana 20% lebih downforce berbanding sebelum ini. Secara keseluruhan, ia menjana 50% lebih downforce tanpa menjejaskan daya seretan.

Spyder pula dilengkapi dengan spoiler belakang yang akan dinaikkan secara automatik apabila mencecah kelajuan melebihi 120 km/j. Dengan diffuser belakang yang berfungsi, ia juga dikatakan model Boxster pertama yang mampu menjana downforce aerodinamik pada gandar belakang.

Casis GT didatangkan secara standard pada kedua-dua model, begitu juga dengan Porsche Active Suspension Management (PASM), Porsche Stability Management (PSM) dan Porsche Torque Vectoring (PTV).

Cayman GT4 boleh dilengkapi dengan pakej Clubsport yang merangkumi ciri-ciri tambahan seperti roll bar, pemadam api dan tali pinggang keledar enam poin pada sebelah pemandu.

Sementara itu, pakej dalaman Spyder Classic memberikan imej yang diinspirasikan oleh jentera lumba klasik menerusi upholsteri kulit dua tona Bordeaux Red/Black.

Previous post

Porsche 911 Turbo Baharu Terletak Dengan Selesa Di Bawah Turbo S

Next post

Youtuber Terbalikkan MINI JCW GP Di Halaman Rumah Sendiri

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *