Berita Auto

Mercedes-AMG GT Black Series Diperkenalkan

Selepas lapan tahun, rangkaian model Mercedes-AMG yang paling ‘hardcore’ iaitu Black Series kembali semula menerusi GT Black Series.

Penantian ini dirasakan cukup berbaloi kerana Mercedes-AMG telah membawakan jentera roadster yang ditala untuk menawarkan prestasi yang terbaik dalam kelasnya.

Ini bermula dengan penggunaan enjin 4.0-liter twin-turbo V8 yang telah dinaik taraf secara menyeluruh sehinggakan Mercedes memberikannya nama baharu iaitu M178 LS2.

Dilengkapi dengan aci engkol jenis ‘flat-plane’, manifold ekzos baharu serta intercooler yang lebih besar, enjin tersebut mampu menjana output keseluruhan sebanyak 730 PS dan 800 Nm, 145 PS dan 100 Nm lebih tinggi berbanding GT R.

Dengan kotak gear klac berkembar AMG Speedshift tujuh kelajuan yang dilengkapi dengan sistem penyejukan lebih baik, GT Black Series memerlukan hanya 3.2 saat untuk memecut dari 0 hingga 100 km/j atau kurang sembilan saat untuk mencapai 200 km/j. Kelajuan maksimum adalah 325 km/j.

Sistem suspensi turut ditambah baik dengan komponen-komponen yang diperbuat daripada aluminium tempaan bagi tujuan mengurangkan berat. Turut digunakan adalah peredam adapatif AMG Ride Control dengan mod Comfort, Sport dan Sport Plus yang boleh ditetapkan menerusi sistem AMG Dynamic Select.

Sistem AMG Traction Control menyediakan sembilan tahap cengkaman yang boleh dipilih mengikut keperluan. Tayar yang digunakan adalah Michelin Pilot Sport Cup 2 R yang dibangunkan khas untuk GT Black Series dengan ukuran 285/35 ZR 19 di hadapan dan 335/30 ZR 20 di belakang.

Dari segi aerodinamik, model ini mempunyai bukaan udara yang besar pada bampar hadapan yang diinspirasikan oleh jentera lumba AMG GT3. Ia juga mempunyai splitter hadapan gentian karbon dengan dua mod pelarasan iaitu Street dan Race.

Di belakang pula terdapat diffuser yang lebar serta spoiler aerofoil yang boleh dilaras mengikut keadaan pemanduan. Menurut Mercedes, sudat bilah atas aerofoil tersebut boleh diubah sebanyak 20 darjah, sekaligus membolehkan ia menjana sehingga 400 kg downforce pada kelajuan 250 km/j.

Selain itu, Mercedes turut menggunakan gentian karbon pada bonet dan but, manakala liang-liang udara pada dapra hadapan dan bonet membantu dalam proses penyejukan.

Previous post

Youtuber Terbalikkan MINI JCW GP Di Halaman Rumah Sendiri

Next post

Berapakah Kos Servis Untuk Proton X70

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *