Berita Auto

Jaguar F-Pace Edisi Terhad Masuk Pasaran Malaysia

Jaguar Land Rover Malaysia hari ini melancarkan Jaguar F-Pace edisi terhad yang didatangkan dengan enjin Ingenium petrol 2.0 liter. Terhad kepada 20 unit sahaja, ia boleh didapati dalam varian Prestige, R-Sport Mid-Spec dan R-Sport Hi-Spec.

Diperbuat daripada aluminium, enjin tersebut menghasilkan 300 PS pada 5,500 rpm dan 400 Nm dari 1,500 hingga 4,500 rpm. Ia dipadankan dengan transmisi automatik lapan kelajuan ZF, sekaligus membolehkan SUV itu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 6.1 saat dan mencapai kelajuan maksimum 233 km/j.

Antara teknologi yang tersedia pada F-Spec edisi terhad adalah Configurable Dynamics dan Adaptive Dynamics. Disertakan secara standard pada varian R-Sport, Configurable Dynamics membolehkan pemandu memilih tetapan Normal atau Sports untuk respon pendikit, kotak gear dan stereng.

Sementara itu, Adaptive Dynamics pula menyesuaikan respon peredam supaya sepadan dengan keadaan jalan dan gaya pemanduan. Ia menganalisis pecutan serta aktiviti pendikit dan brek untuk mengoptimumkan tetapan sistem suspensi dan mengekalkan aspek dinamik dan keselesaan kenderaan. Ciri ini hanya terdapat pada varian R-Sport Hi-Spec.

Ciri-ciri lain termasuklah tailgate kawalan gerak isyarat, skrin Touch Pro 10 inci, Pro Services, Wifi Hotspot, Lane Keep Assist dan Driver Condition Monitor. Turut disertakan adalah Apple CarPlay dan Android Auto.

Sebagai varian entry-level, F-Pace Prestige dilengkapi dengan Tyre Pressure Monitoring System, rim aloi Style 5031 berukuran 20 inci dengan kemasan Grey Diamond Turned, Rear Seat Remote Release Levers dan Power Reclining Rear Seat.

Varian R-Sport Mid-Spec mendapat tambahan lampu LED adaptif dengan lampu nyalaan siang (DRL), Auto High Beam Assist (AHBA), pencahayaan ambien dan rel bumbung hitam berkilat.

Ciri eksklusif yang terdapat pada F-Pace R-Sport Hi-Spec adalah Adaptive Surface Response (AdsR) yang boleh mengenal pasti perbezaan antara permukaan bagi mendapatkan tahap cengkaman yang tinggi dengan melaraskan enjin dan brek. Varian ini juga hadir dengan rim berukuran 22 inci.

F-Pace edisi terhad ini dijual pada harga RM436,420.82 bagi varian Prestige, RM470,212.97 bagi varian R-Sport Mid-Spec dan RM485,433.81 bagi R-Sport Hi-Spec. Harga yang dinyatakan adalah selepas pengecualian cukai jualan, tidak termasuk cukai jalan dan insurans.

Enam pilihan warna ditawarkan iaitu Fuji White, Santorini Black, Eiger Grey, Portofino Blue, Firenze Red dan Indus Silver.

Previous post

Michelin Lancar Empat Tayar 'Power'

Next post

Crossover MG EZS All-Electric Dilihat Di Berjaya Times Square

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *