Berita Auto

BMW X1 sDrive18i Masuk Pasaran Malaysia – RM208k

Selain ‘hot hatch’ M135i xDrive, BMW Malaysia hari ini turut melancarkan BMW X1 dalam versi sDrive18i. Ia merupakan varian kedua selepas X1 sDrive20i M Sport yang dilancarkan awal tahun ini.

Tidak seperti varian sDrive20i yang dilengkapi dengan kit badan M Sport dan rim 18 inci, varian asas ini hadir dengan kit badan standard, rim 560 berukuran 17 inci, serta lampu LED dan rel bumbung aluminium dalam kemasan satin.

Warna luaran yang ditawarkan untuk model ini adalah Alpine White, Mediterranean Blue, Black Sapphire, dan Mineral Grey.

Di dalam, kokpit SUV ini mempersembahkan kemasan trim interior dalam
warna hitam berglos tinggi, trim Pearl Chrome, serta upholsteri kulit Dakota berwarna hitam.

Ia juga dilengkapi dengan stereng sport berkulit, kerusi hadapan yang boleh dilaras secara elektrik, penyaman udara automatik dua zon dan material bumbung berwarna kelabu. Kapasiti ruang but adalah 505 liter dan ia boleh dipertingkatkan kepada 1,550 liter apabila tempat duduk belakang dilipat.

Sistem infotainmen merangkumi sistem iDrive dengan paparan berukuran 8.8 inci, manakala aspek bantuan pemandu didatangkan dalam bentuk BMW Personal CoPilot yang merangkumiAmaran Pengeluaran Laluan, Amaran Perlanggaran Hadapan dengan intervensi brek, Bantuan Lampu Puncak, serta info had kelajuan.

Jantung yang menguasakan jentera ini ialah enjin BMW TwinPower Turbo 1.5-liter tiga silinder yang digandingkan dengan transmisi Steptronic tujuh kelajuan dengan kuasa berjumlah 140 hp dan 220 Nm. Pecutan 0-100 km/j dilakukan dalam 9.6 saat manakala kelajuan maksimum adalah 201 km/j.

X1 sDrive18i dijual pada harga RM208,368.48 (harga atas jalan, tanpa insurans) termasuk waranti tanpa had perbatuan bertempoh lima tahun dan program servis berjadual percuma.

Previous post

BMW M135i xDrive Dilancarkan - RM355k

Next post

Anda Minta MEGANE R.S. 280 Tetapi Sekarang Anda Mengabaikannya

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *