Motosikal / Lain Lain Roda

BMW R 18 Masuk Pasaran Malaysia Oktober 2020

Di samping melancarkan S 1000 XR, BMW Motorrad Malaysia turut mengesahkan kehadiran motosikal cruiser R 18 ke pasaran Malaysia pada bulan Oktober.

Terhad kepada 18 unit sahaja, model tersebut boleh ditempah menerusi platform tempahan dalam talian BMW Motorrad Malaysia dengan harga RM156,500.

Kesemua 18 unit hadir dalam versi First Edition yang menampilkan logo khas dengan gubahan jalur halus berlatarkan warna hitam berkilat.

Selain itu, kemasan krom dikenakan pada bar hendal, tuil penukar gear, pelitup hendal, pelitup kepala silinder, pelitup engkol, serta komponen salur masuk udara.

Kruiser mewah ini menawarkan pencahayaan yang jelas dengan lampu hadapan LED pada bahagian hadapan, belakang dan lampu isyarat. Ia juga dilengkapi dengan pelitup enjin aluminium yang dihasilkan dengan kerjasama Roland Sands Design.

R 18 dikuasakan oleh enjin boxer terbesar yang pernah dihasilkan oleh BMW. Bersesaran 1,802 cc dengan dua silinder, enjin empat lejang yang disejukkan melalui udara/minyak itu mampu menghasilkan tork maksimum 158 Nm.

Sistem brek terdiri daripada cakera 300 mm berkembar dengan angkup empat omboh pada bahagian hadapan dan cakera tunggal di belakang. Ia disokong oleh sistem ABS Integral.

Selain itu, jentera ini juga dilengkapi dengan Automatic Stability Control (ASC) dan tiga mod tunggangan iaitu Rock, Roll and Rain.

Previous post

BMW S 1000 XR Dilancarkan di Malaysia

Next post

Cawangan UMW Toyota di PJ dan Cheras Diubah Jadi Pengedar

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *