Berita Auto

12,732 Unit Kenderaan Volkswagen Dipanggil Semula di Malaysia

Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) hari ini mengumumkan panggilan semula sukarela ke atas model-model yang dihasilkan di antara tahun 2011 hingga 2015 untuk membaiki akumulator tekanan hidraulik di dalam kotak gear klac berkembar 7-kelajuan yang rosak di peringkat pengeluaran.

Sebanyak 12,732 kenderaan Volkswagen dikenal pasti perlu menjalani pemeriksaan di bawah kempen panggilan semula ini. Model-model yang terjejas ialah Beetle, Cross Touran, Golf (Mk6 dan Mk7), Jetta, Passat (B7), Passat CC, Polo (6R) dan Scirocco. Panggilan semula ini tidak melibatkan model-model 2016 ke atas.

Dalam beberapa kes tertentu, kegagalan komponen tersebut boleh menyebabkan tekanan hilang, sekali gus mengganggu pengalihan kuasa di antara enjin dan kotak gear.

Kempen di seluruh negara ini akan dijalankan secara berperingkat-peringkat untuk menguruskan kes-kes terbabit. Pemilik akan diberitahu menerusi mel berkuat-kuasa serta-merta.

Selain itu, pemilik digalakkan untuk melayari laman web Volkswagen untuk memeriksa sama ada kenderaan mereka terlibat. Mereka juga boleh menghubungi khidmat pelanggan Volkswagen di talian 1800-18-8947 untuk maklumat lanjut.

Pemilik yang terlibat boleh menghubungi mana-mana pusat servis Volkswagen untuk membuat janji temu, pemeriksaan kenderaan serta penukaran alat ganti sekiranya perlu.

VPCM telah mengambil langkah sewajarnya dengan rakan pengedar bagi memastikan kebolehdapatan alat ganti, seterusnya membolehkan proses ini dijalankan dengan lancar dan efektif. Semua kos buruh dan penggantian alat ganti tidak akan dikenakan ke atas pemilik.

Sebagai tambahan, para pemilik akan menerima kad keahlian VCP secara percuma sebagai tanda penghargaan daripada Volkswagen.

Pengarah Urusan VPCM, Erik Winter memohon maaf ke atas kesulitan yang terpaksa dilalui oleh pemilik. “Kami harap para pelanggan faham bahawa kempen ini penting untuk memastikan mereka kekal yakin dengan prestasi kenderaan masing-masing.”

Previous post

BBS Bankrap Lagi

Next post

Beli Kereta dan Menangi Motosikal BMW G 310 R

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *