Berita Auto

Toyota RAV4 Serba Baharu Lancar di Malaysia

Toyota RAV4 generasi kelima telah dilancarkan secara rasmi dengan dua pilihan varian iaitu 2.5L dan 2.0L.

Hadir sebagai model import sepenuhnya (CBU), RAV4 ditawarkan pada harga RM215,665 untuk varian 2.5L dan RM196,436 untuk varian 2.0L (selepas pengecualian cukai jualan kenderaan).

Kedua-dua varian boleh didapati dalam enam warna iaitu Dark Blue Mica, Grey Metallic, White Pearl CS, Red Mica, Attitude Black dan Silver Metallic.

Seperti model-model terkini Toyota, RAV4 menggunakan platform baru Toyota New Global Architecture (TNGA) yang menjanjikan peningkatan dari segi ketahanan, kestabilan dan aspek penglihatan.

Kedua-dua varian RAV4 hadir dengan enjin Dynamic Force dengan teknologi VVT-iE yang menjadikannya lebih ringan dan berkuasa. Ia juga dikatakan mempunyai kecekapan suhu yang terbaik di dunia pada tahap 40%.

Varian 2.5L menampilkan enjin 2.5-liter VVT-iE (A25A-FKS) yang menghasilkan 207 PS dan 243 Nm dengan padanan transmisi automatik lapan kelajuan, manakala varian satu lagi dilengkapi dengan enjin 2.0-liter (M20A-FKS) dengan kuasa berjumlah 173 PS dan 207 Nm. Enjin ini dipadankan dengan transmisi jenis CVT dengan ciri Sequential Shiftmatic.

Bagi kedua-dua transmisi, pemandu boleh memilih mod Eco, Normal dan Sport untuk disesuaikan dengan gaya pemanduan atau persekitaran. Turut disediakan adalah paddle shifter yang membolehkan pemandu menukar gear secara manual.

Di dalam, meter Optitron premium yang digunakan memberikan paparan jelas dan terang. Skrin Multi Information Display (MID) berwarna dengan saiz tujuh-inci melengkapkan meter gabungan TFT yang boleh ditukar antara paparan analog atau digital.

Sistem infotainmen DVD-AVX tujuh-inci dengan enam pembesar suara mempunyai pelbagai sambungan capaian seperti Mirrorlink, Miracast, AUX, Bluetooth, Apple CarPlay dan Android Auto. Ciri arahan suara pula membolehkan pemandu mengendalikan beberapa ciri secara tanpa sentuhan.

Ciri-ciri lain yang ada termasuk sistem pintar tanpa kunci serta lebih banyak slot USB untuk mengecas peranti elektronik, termasuk pad pengecas Qi tanpa wayar. Ruang simpanan tambahan dan ruang meletak cawan juga tersedia. Pencahayaan lembut pada waktu malam melahirkan suasana yang aman di dalam kabin.

Dari sudut ukuran dimensi, ruang kabin RAV4 mempunyai kelebaran 1,855 mm dengan jarak antara roda 30 mm. Ruang kargonya menampilkan bahagian pelapik lantai yang boleh diterbalikkan untuk pelbagai kegunaan serta boleh dilaraskan ketinggian bagi mendapatkan lebih ruang.

Ruang ini boleh diakses menerusi tailgate yang boleh dibuka dengan hanya menghayunkan kaki di bawah sensor yang terletak di bahagian tengah bampar belakang (kunci perlu berada dekat dengan pengguna).

Dari segi keselamatan, RAV4 dilengkapi dengan sistem bantuan pemandu Toyota Safety Sense (TSS) yang merangkumi Sistem Pra-Perlanggaran, Amaran Penukaran Lorong dengan Bantuan Stereng, Bantuan Pengesanan Lorong dan Kawalan Melayar Radar Dinamik untuk semua kelajuan serta Lampu Tinggi Automatik. Ia juga mempunyai tujuh beg udara SRS.

Turut disertakan adalah cermin pandang belakang Electro-Chromic, amaran lintasan trafik di belakang, peninjau titik buta, brek parkir elektronik dengan ciri Hold, dua perakam video digital dan cagak Isofix.

Selain alat imobilisasi enjin dan sistem penggera, RAV4 juga didatangkan dengan sistem telematik kenderaan yang menggunakan GPS/GSM untuk mengesan dan memudahkan pencarian kereta sekiranya ia dicuri.

Previous post

Volkswagen Lancar Passat & Tiguan Edisi Terhad 'United'

Next post

Pakej Servis Istimewa Untuk Pemilik Hyundai

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *