Berita Auto

Nissan X-Trail Masuk Generasi Keempat Dengan Reka Bentuk Lebih Lasak

Nissan telah memperkenalkan X-Trail generasi keempat yang hadir dengan reka bentuk yang baharu dan pelbagai kelengkapan terkini.

Penampilan SUV ini kini dilihat lebih atletik terutamanya pada bahagian hadapan di mana terletaknya lampu berkembar dan gril V-Motion dengan penutup gril aktif yang bertindak mengawal aliran udara yang masuk ke dalam ruang enjin.

Menurut Nissan, ukuran X-Trail adalah 1.5 inci lebih pendek dan 0.2 inci lebih rendah daripada model terdahulu. Ini memberikannya bentuk yang lebih gagah dan pemanduan yang lebih lincah.

Di dalam, papan pemuka telah direka semula bagi menempatkan skrin sentuh berukuran 9.0 inci dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto. Pemandu kini mendapat panel instrumen digital 12.3 inci dan paparan ‘head up’ 10.8 inci.

Konsol tengah turut dikemaskini dengan rekaan ‘terapung’ yang secara tidak langsung menghasilkan ruang storan tambahan di bawah tombol gear. Tempat duduk Zero Gravity didatangkan secara standard pada bahagian hadapan dan belakang.

Seperti model generasi ketiga, X-Trail dikuasakan oleh enjin petrol NA 2.5-liter empat silinder. Dipadankan dengan CVT, enjin tersebut ditala bagi menghasilkan 181 hp dan 245 Nm, iaitu 11 hp dan 8 Nm lebih tinggi berbanding sebelum ini.

Vehicle Motion Control digandingkan dengan Intelligent All- Wheel Drive system dan Drive Mode Selector bagi menghasilkan pengendalian yang lebih baik ketika di selekoh.

Bagi varian pacuan roda hadapan, terdapat tiga mod pemanduan iaitu Sport, Standard dan Eco. Varian pacuan semua roda (AWD) pula mempunyai lima mod iaitu Off-Road, Snow, Standard, Eco dan Sport.

Dari segi keselamatan, X-Trail dilengkapi dengan Nissan ProPilot Assist yang menggabungkan bantuan stereng dan Intelligent Cruise Control bagi membantu mengawal pecutan, brek dan stereng ketika terperengkap di dalam trafik atau memandu di lebuh raya.

Previous post

Tesla Model 3 Dengan Harga RM385K? Betulkah Ini? Terlalu Baik Untuk Dipercayai

Next post

BMW X5 xDrive45e M Sport Dilancarkan di Malaysia

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *