Berita Auto

Kia Carnival Generasi Keempat Diperkenalkan

Kia akhirnya telah memperlihatkan Carnival generasi keempat versi pasaran Korea. Digelar sebagai Grand Utility Vehicle, model ini hadir dengan reka bentuk yang lebih futuristik dan moden untuk menarik perhatian keluarga muda.

Walaupun mempunyai bentuk yang tidak jauh berbeza dengan model sebelum ini, Carnival kini mempunyai overhang hadapan yang lebih pendek, manakala tapak tiang A digerakkan ke belakang untuk menghasilkan hud yang lebih panjang.

Jarak roda (wheelbase) yang lebih panjang bukan sahaja memberikan MPV ini penampilan yang lebih atletik, malah menjadikan ruang kabin lebih luas dan selesa.

Wajah hadapan Carnival tampak lebih kemas dan premium dengan rekaan jeriji hidung harimau yang dikelilingi oleh kemasan krom. Jeriji tersebut bersambung dengan lampu yang lebih nipis dan lampu nyalaan siang LED dengan signatur unik. Kemasan metalik dan hitam pada bahagian bawah bampar membuatkan Carnival kelihatan lasak seperti sebuah SUV.

Pandangan dari bahagian sisi tidak kurang hebatnya dengan konsep bumbung ‘terapung’ yang dicapai menerusi tiang A dan B yang dihitamkan. Tiang C pula menampilkan rekaan sirip krom yang diperlihatkan buat kali pertama pada Sorento baharu.

Sementara itu, bahagian belakang pula menggunakan garisan-garisan karakter untuk menonjolkan lagi kelebaran MPV ini. Ini termasuklah bar lampu dan jalur krom yang bersambung dengan sirip krom pada bahagian sisi.

Gambar ruang kabin serta perincian mengenai kelengkapan dan spesifikasi Carnival masih belum didedahkan. Bagaimanapun, Kia mengesahkan bahawa model ini akan dijual di Korea Selatan bermula suku ketiga tahun ini.

Previous post

Yamaha Tracer 900 GT Dapat Dua Warna Baharu

Next post

Lexus Baharu Dipersembahkan Dengan Facelift Dan Perubahan Besar

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *