Berita Auto

Honda Civic Type R Terima Sentuhan Mugen

Dalam versi standard, Honda Civic Type R (FK8) sudah cukup menonjol dengan reka bentuknya yang tajam dan bersegi serta spoiler gergasi yang menghiasi bahagian belakang. Namun begitu, kit badan yang dihasilkan oleh Mugen ini pasti akan mengundang lebih banyak reaksi daripada orang ramai.

Untuk model facelift 2020, Mugen menawarkan pelbagai komponen luaran yang menjadikan hot hatch ini lebih agresif. Bermula daripada bahagian hadapan, syarikat talaan terkenal itu menyediakan spoiler bawah, gril karbon dan hud gentian karbon.

Untuk bahagian belakang pula, terdapat spoiler yang ditawarkan dalam versi karbon atau gentian kaca serta diffuser belakang dengan rekaan yang lebih ganas. Komponen didatangkan dalam warna hitam berkilat.

Turut ditawarkan adalah kemasan di sekeliling lampu kabus hadapan, tailgate spoiler, skirt sisi dan cermin sisi gentian karbon. Sebagai pelengkap, pelanggan juga boleh mendapatkan rim aluminium MDCF berukuran 20 inci.

Di dalam, Mugen menawarkan stereng gentian karbon, tempat duduk bucket MS-R dengan kemasan Alcantara serta tombol gear kulit, karbon atau aluminium. Butang penghidup enjin, pelindung bahagian dalaman pintu serta karpet turut ditawarkan.

Walaupun tiada sebarang naik taraf untuk enjin, pelanggan masih boleh meningkatkan prestasi jentera mereka dengan mendapatkan ekzos titanium dengan muncung ekzos berkembar, sistem ‘quick shifter’ untuk penukaran gear yang lebih cepat serta pad brek Type C yang mempunyai ketahanan pudar yang lebih tinggi.

Previous post

Audi Q5 Facelift Hadir Dengan Lampu Belakang OLED

Next post

Pemenang Toyota Gazoo Racing Musim Ketiga Bawa Pulang Hadiah Wang Tunai RM360k

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *