Hibrid, Elektrik, Hidrogen

BMW X5 xDrive45e M Sport Dilancarkan di Malaysia

Barisan BMW X5 (G05) diperkembangkan lagi dengan kehadiran varian hibrid plug-in xDrive45e yang dilancarkan secara dalam talian hari ini. Ia merupakan susulan kepada varian xDrive40i M Sport yang diperkenalkan pada tahun lalu.

Dari segi penampilan, X5 xDrive45e hadir dengan pakej M Sport berserta rim aloi ringan ‘M’ bersaiz 20 inci dalam penggayaan Star Spoke 740 M. Turut disertakan adalah angkup brek M Sport, serta lampu hadapan Adaptive LED dengan BMW Selective Beam dan lampu kabus LED. Ia boleh didapati dalam empat warna iaitu Phytonic Blue, Black Sapphire, Mineral White dan Artic Grey.

Untuk penampilan lebih ranggi, pelanggan boleh memilih pakej BMW M Performance yang merangkumi pelbagai kelengkapan tambahan termasuk pelekat sisi berwarna Frozen Black dan set roda Star Spoke dalam warna Jet Black Matte.

Di dalam kabin, kokpit SUV ini dihiasi dengan upholsteri kulit Vernasca dalam warna hitam, trim kayu halus dan Fineline Stripe dengan warna perang berglos tinggi.

Turut disertakan adalah stereng M yang dibalut kulit, tempat duduk sport di hadapan dan fungsi memori khas bagi tempat duduk pemandu, penyaman udara automatik empat zon, material Sensatec pada panel instrumen dan sistem audio Harman Kardon.

Sistem infotainmen terdiri daripada BMW Live Cockpit Professional dengan Kawalan Gestur, panel instrumen digital berukuran 12.3 inci dan monitor sentuh bersaiz 10.2 inci untuk penumpang belakang.

Menguasakan X5 xDrive45e adalah enjin 3.0-liter enam silinder sebaris yang dilengkapi dengan teknologi eDrive. Gabungan ini menghasilkan kuasa keseluruhan berjumlah 394 hp dan 600 Nm, sekaligus membolehkan SUV ini memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 5.6 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 235 km/j.

Dalam mod pemanduan elektrik tulen, model ini boleh dipandu sejauh 77 km dengan satu cas penuh, dengan kelajuan maksimum mencecah 135 km/j. Ia mempunyai tahap penggunaan api 2.5 liter bagi setiap 100 km dan pelepasan karbon 56 g/km.

Enjin tersebut dipadankan dengan transmisi automatik lapan kelajuan yang ditugaskan untuk menyalurkan kuasa ke keempat-empat roda menerusi sistem pacuan semua roda xDrive. Sistem suspensi udara pada gandar hadapan dan belakang menghasilkan pengendalian yang dinamik.

Dari segi bantuan pemandu, X5 xDrive45e dilengkapi dengan BMW Personal CoPilot yang merangkumi Amaran Pengeluaran Laluan, Amaran Penukaran Laluan, Amaran Perlanggaran Hadapan dengan intervensi brek, Amaran Perentasan Trafik di Belakang, Pencegahan Perlanggaran Belakang serta info had kelajuan. Parking Assistant Plus dengan Kamera Pandangan Keliling, berserta Bantuan Mengundur turut disertakan.

Harga jualan (atas jalan, tanpa insurans, dan dengan Waranti Tanpa Had Perbatuan Bertempoh 5 Tahun, Program Servis Berjadual Percuma dan Program Waranti Tayar BMW) X5 xDrive45e M Sport adalah RM440,745.

Previous post

Nissan X-Trail Masuk Generasi Keempat Dengan Reka Bentuk Lebih Lasak

Next post

Porsche Kurangkan Harga Sehingga RM48,000

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *