Cerita Auto

Range Rover Evoque Generasi Kedua Tiba di Malaysia Jun Ini

Jaguar Land Rover Malaysia bakal melancarkan Range Rover Evoque 2020 pada awal Jun depan. SUV kompak mewah itu menampilkan rekaan yang lebih segar, serta pelbagai teknologi canggih termasuk sistem kecerdasan buatan (AI).

Seperti sebelum ini, Evoque mempunyai bentuk seakan-akan coupe namun ia kini dilengkapi dengan lampu LED yang lebih langsing serta pemegang pintu yang tersembunyi.

Antara penawaran baharu yang terdapat pada model ini termasuk ClearSight Rear View Mirror yang akan menukarkan cermin pandang belakang menjadi skrin video HD jika pandangan belakang terhalang. Skrin ini menyediakan sudut pandangan 50 darjah yang boleh dilihat dengan jelas walaupun dalam keadaan gelap.

ClearSight Ground View pula merupakan teknologi yang membolehkan pemandu melihat keadaan di bawah hud dengan sudut pandangan 180 darjah menerusi skrin sentuh. Ciri ini berguna terutamanya apabila memandu di tempat sempit atau off-road.

Evoque juga merupakan model Land Rover pertama yang menampilkan Smart Settings, sebuah sistem yang menggunakan algoritma AI yang mampu mempelajari keutamaan pemandu. Sistem ini kemudiannya akan menggunakan data tersebut untuk menetapkan media dan ciri-ciri keselesaan secara automatik.

Menurut JLR, sistem ini membolehkan sehingga lapan profail didaftarkan. Ia mengecam pemandu menerusi kunci dan telefon, dan akan melaraskan kedudukan tempat duduk dan kolum stereng sekiranya didekati. Selepas beberapa perjalanan, ia akan mengingati suhu pendingin hawa, tetapan media dan nombor yang kerap dihubungi oleh pemandu tersebut.

Turut disertakan adalah sistem infotainmen InControl Touch Pro Duo yang menggabungkan skrin sentuh berukuran 10 inci dan paparan pemandu berukuran 12.3 inci. Dari segi praktikaliti, Evoque menawarkan ruang but dengan keluasan sehingga 1,383 liter apabila tempat duduk barisan kedua dilipat.

Antara ciri keselamatan yang disertakan adalah Lane Keep Assist yang membantu pemandu mengekalkan kedudukan kenderaan di dalam lorong dan Driver Condition Monitor yang akan mengeluarkan amaran visual dan audio jika pemandu dikesan memandu dalam keadaan penat atau mengantuk.

Evoque tampil dengan enjin petrol turbo Ingenium 2.0-liter yang dipadankan dengan transmisi automatik sembilan kelajuan. Bagaimanapun, JLR Malaysia masih belum mengumumkan varian mana yang akan dibawa masuk tetapi ada kemungkinan yang ia adalah varian P200 yang mempunyai 200 PS dan 320 Nm.

Maklumat lain seperti harga dan varian akan diumumkan ketika pelancaran. Pelanggan yang berminat boleh mendaftar di sini.

Previous post

Perodua Kembali Beroperasi Pada Kapasiti Penuh

Next post

BMW Malaysia Lancar Fasa Kedua Program Subsidi Kerusi Kereta Kanak-kanak

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *