Berita Auto

Lamborghini Sian FKP 37 Kini Dalam Versi LEGO

LEGO Technic telah menambah satu lagi model supercar ke dalam koleksi Ultimate Series mereka iaitu Lamborghini Sian FKP 37.

Ia menyertai Porsche 911 GT3 RS dan Bugatti Chiron, masing-masing diperkenalkan pada 2016 dan 2018. Namun jika dibandingkan dengan kedua-dua model terbabit, Sian merupakan kit yang paling kompleks dengan 3,696 kepingan.

Seperti unit sebenar yang diperkenalkan di Frankfurt Motor Show 2019, Sian versi Lego Technic menampilkan warna hijau dengan rim berwarna emas. Ia hadir dalam skala 1:8 dengan ukuran 60 cm panjang, 25 cm lebar dan 13 cm tinggi.

Model ini dilengkapi dengan pelbagai komponen yang boleh digerakkan, termasuk pintu gunting (scissor doors), spoiler belakang, suspensi dan tayar. Ruang dalamannya juga begitu terperinci dengan kotak gear yang boleh digerakkan dengan pedal. Penutup enjin di belakang juga boleh dibuka untuk mendedahkan omboh enjin V12 yang bergerak.

Kit Sian FKP 37 didatangkan dalam kotak eksklusif berserta sebuah buku yang mengandungi arahan pemasangan serta pelbagai kandungan menarik mengenai projek ini. Pelanggan juga mendapat plat paparan serta nombor siri unik.

Ia akan dijual bermula 1 Ogos ini dengan harga $379.99 (RM1,652).

Previous post

Volvo XC40 Recharge Dijual Di UK Dengan Harga RM283,800

Next post

Acura TLX 2021 Muncul Dengan Platform dan Enjin Turbo Baharu

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *