Berita Auto

Lamborghini Perkenal Huracan EVO RWD Spyder

Lamborghini telah menambah satu lagi varian dalam barisan Huracan iaitu EVO Rear-Wheel Drive (RWD) Spyder. Ini merupakan varian Huracan EVO yang keempat selepas EVO AWD Coupe, EVO RWD Coupe dan EVO AWD Spyder.

Seperti yang lain, varian terbaru ini dikuasakan oleh enjin NA berkapasiti 5.2-liter V10 yang menghasilkan 610 hp dan 560 Nm. Ini membolehkannya memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 3.5 saat dengan kelajuan maksimum 324 km/j.

Untuk perbandingan, ia lebih perlahan daripada Huracan EVO RWD Coupe dengan perbezaan sebanyak 0.2 saat untuk pecutan 0-100 km/j dan 1 km/j untuk kelajuan maksimum.

Model ini didatangkan dengan bumbung fabrik (soft top) yang boleh dilipat secara elektronik dalam hanya 17 saat, pada kelajuan sehingga 50 km/j. Dua penghadang angin yang terdapat di dalam kabin membolehkan pemandu dan penumpang melakukan perbualan walaupun pada kelajuan tinggi.

Selain itu, ia juga dilengkapi dengan rim Kari berukuran 19 inci yang dibalut tayar Pirelli P Zero. Pelanggan boleh memilih untuk menaik taraf dengan rim 20 inci dan sistem brek karbon seramik.

Lain-lain kelengkapan standard termasuk sistem kawalan cengkaman P-TCS, butang mod pemanduan ANIMA pada stereng dan skrin sentuh HMI 8.4 inci dengan sokongan Apple CarPlay.

Penggunaan bahan ringan seperti aluminium dan gentian karbon pada casis membolehkan Lamborghini mengekalkan berat jentera ini pada tahap 1,509 kg, hanya 88 kg lebih berat jika dibandingkan dengan versi Coupe.

Huracan EVO RWD Spyder akan memasuki pasaran bermula tahun ini dengan harga EUR 175,838 (RM824,930).

Previous post

Penjualan Domestik Kereta Di Britain Menjunam 97% Pada April 2020

Next post

Lotus Rai Kejayaan Dalam Formula 1 Dengan Elise Classic Heritage Edition

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *