Berita Auto

Isuzu Malaysia Usaha Percepat Penyerahan Kenderaan

Ketika negara sedang memasuki fasa pemulihan berikutan penularan pandemik Covid-19, Isuzu Malaysia akan memberikan keutamaan bagi mempercepatkan penyerahan, terutamanya tempahan yang dibuat sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa pada Mac lalu.

Sejumlah 300 tempahan bagi pelbagai model Isuzu telah diterima sebelum perintah berkenaan dilaksanakan, dan keutamaan akan diberikan untuk memastikan semua pelanggan menerima kenderaan mereka secepat mungkin setelah operasi perniagaan disambung semula.

“Adalah menjadi matlamat kami untuk memastikan semua pelanggan menerima kenderaan Isuzu D-Max baru mereka secepat mungkin,” ujar Ketua Pegawai Eksekutif Isuzu Malaysia, Masayuki Suzuki.

Usaha-usaha sedang dijalankan untuk memastikan tempoh memproses kenderaan-kenderaan terbabit menjadi lebih cepat, bermula dari kilang di Pekan, Pahang kemudiannya dihantar kepada pengedar di seluruh negara. Proses penyerahan juga diperbaharui bagi memastikan keselamatan pelanggan dan staf, selari dengan prosedur operasi standard (SOP) yang telah digariskan oleh kerajaan bagi membasmi penularan Covid-19.

Antara protokol utama termasuk untuk merekodkan suhu badan semua staf sebelum memulakan tugas, penggunaan topeng muka, sanitasi di titik sentuhan sebanyak tiga kali sehari, sementara kenderaan yang dipamer dan milik pelanggan juga akan disanitasi secara kerap.

Semua pelawat di cawangan Isuzu juga perlu menjalani saringan suhu badan sementara cecair sanitasi tangan serta topeng muka akan disediakan di semua premis terlibat. Pelanggan yang datang untuk mengambil kenderaan baru mereka akan dimaklumkan tarikh serahan oleh penasihat jualan dan diberikan masa khusus untuk mengelakkan kesesakan di premis.

Pemilik kenderaan Isuzu dengan tempoh jaminan kenderaan yang tamat ketika tempoh PKP secara automatik akan menikmati lanjutan 30 hari bermula 13 Mei 2020. Sementara bagi kenderaan yang sudah terlepas jadual servis pula tidak perlu risau kerana jaminan kenderaan tidak akan terkesan disebabkan kelewatan itu.

Pelanggan yang berhasrat untuk membawa kenderaan mereka untuk diservis dinasihatkan untuk membuat janji temu terlebih dahulu dengan pusat servis rasmi Isuzu masing-masing. Jumlah kenderaan yang diterima untuk servis setiap hari akan berpandukan kepada kapasiti di setiap premis terlibat.

Untuk mengatur sesi melihat atau pandu uji kenderaan Isuzu, pelanggan yang berminat boleh membuat temujanji melalui laman Facebook Isuzu Malaysia.

Previous post

Kia Picanto Facelift Dilancarkan di Korea Selatan

Next post

Toyota Umum Pemenang Vios Challenge Musim Ketiga

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *