Berita Auto

BMW Malaysia Lancar Fasa Kedua Program Subsidi Kerusi Kereta Kanak-kanak

BMW Malaysia, Safe ‘n Sound dan Childline Foundation telah mengumumkan pelancaran fasa kedua program subsidi kerusi kereta kanak-kanak buat ibu bapa yang tergolong dalam kumpulan pendapatan B40.

Program ini disokong oleh Shopee sebagai rakan e-dagang eksklusif, termasuk rakan-rakan penaung yang lain seperti KU.KU Duckbill dan Otomo, iaitu jenama barangan bayi dan kanak-kanak; Mideer, pengedar permainan dan alat mainan didikan; Ankou, pembekal solusi pengedap stor makanan; dan Kakimotor, pembekal alat ganti dan aksesori kereta.

Sebagai sebahagian daripada inisiatif BMW Safety 360°, program subsidi ini telah diperkenalkan pada bulan Disember 2019 bersama Safe ‘n Sound dan Childline Foundation yang telah menyaksikan 150 buah kerusi kereta kanak-kanak ditawarkan pada harga bersubsidi bernilai RM100 seunit. Inisiatif berkenaan telah meraih lebih daripada 25,000 pendaftaran oleh ibu bapa dalam kumpulan pendapatan B40.

Sashi Ambi, Ketua Komunikasi Korporat di BMW Group Malaysia berkata, “Matlamat kami melalui inisiatif ini adalah untuk mewajibkan penggunaan kerusi kereta kanak-kanak secara intuitif; yakni sebagai amalan yang dipupuk oleh para ibu bapa untuk memastikan keselamatan anak-anak mereka terpelihara di dalam kereta.”

Fasa kedua program subsidi berkenaan akan memberi tumpuan untuk melengkapi pendaftar yang berbaki daripada fasa pertama dengan aneka kerusi kereta kanak-kanak yang dirumus khas untuk bayi dari usia baru lahir hingga berat mereka mencecah 36 kg.

Ia merangkumi kerusi kereta bayi snskidz Ace (sesuai dari usia kelahiran hingga berat mencecah 13 kg), kerusi kereta kanak-kanak snskidz Sport (sesuai dari usia kelahiran hingga berat mencecah 18 kg), serta snskidz Proto (sesuai dari usia 2 tahun hingga berat mencecah 36 kg). Kesemua kerusi kereta kanak-kanak snskidz hadir dengan sijil piawaian ECE R44-04.

Setiap kerusi kereta kanak-kanak snskidz akan ditawarkan dengan amaun subsidi berjumlah RM50, berserta diskaun harga oleh Safe ‘n Sound yang eksklusif untuk penerima program subsidi ini.

Penerima program subsidi ini akan diberikan baucar Shopee bernilai RM113 yang boleh digunakan ketika membuat pembelian di laman mikro khas ini.

Untuk mempercepatkan proses pengagihan kerusi kereta kanak-kanak kepada 25,000 pendaftar yang pertama, BMW Malaysia, Safe ‘n Sound dan Childline Foundation juga bakal membuka tabung dana awam di laman mikro berkenaan. Tiada jumlah sumbangan minimum yang ditetapkan. Kesemua dana yang dikumpul akan disalurkan kepada Childline Foundation untuk mensubsidikan sebanyak kerusi kereta kanak-kanak yang mungkin bagi pendaftar yang berbaki.

Previous post

Range Rover Evoque Generasi Kedua Tiba di Malaysia Jun Ini

Next post

Ferrari 812 GTS, F8 Spider Buat Kemunculan di Malaysia

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *