Berita Auto

Nissan Almera dan Baucar Petrol Percuma Untuk ‘Frontliners’

Sebagai tanda sokongan terhadap usaha petugas barisan hadapan dalam menentang penyebaran Covid-19, Shell Malaysia mengumumkan kerjasama dengan GoCar Malaysia di mana 200 buah Nissan Almera akan disediakan di 127 stesen Shell di seluruh Semenanjung Malaysia secara percuma.

Bukan itu sahaja, pihak Shell juga akan memberikan baucar petrol bernilai RM30 bagi memudahkan perjalanan petugas barisan hadapan. Inisiatif ini dijalankan bermula hari ini hingga 14 April 2020.

Menurut syarikat itu, inisiatif ini bertujuan untuk membantu petugas kesihatan termasuk doktor, jururawat, ahli farmasi, juruteknik makmal dan staf pentadbiran pergi dan pulang dari kerja dengan mudah dan selamat.

Pendaftaran boleh dilakukan menerusi laman web GoCar selepas pengesahan status petugas kesihatan dilakukan secara dalam talian. Sekiranya berjaya, pendaftar akan menerima kod promo GoCar bernilai RM483 yang boleh digunakan untuk menempah Nissan Almera serta e-baucar Shell bernilai RM30 melalui email.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif GoCar Malaysia, Alan Cheah, setiap kenderaan GoCar sentiasa dibersihkan manakala kesihatan staf mereka juga dipantau dengan mengambil suhu badan setiap hari.

Menurut Alan, setiap pekerja juga diberikan kit yang mengandungi topeng muka, sarung tangan, cecair pencuci tangan, penyembur disinfektan dan penyembur fabrik anti-bakteria. Tisu basah anti-bakteria turut diletakkan di dalam setiap kereta untuk kemudahan pengguna.

Bagi Shell pula, langkah-langkah pencegahan turut diambil bagi memastikan keselamatan staf dan pelanggan. Ini termasuk kerja pembersihan setiap jam, meletakkan penanda penjarakan sosial dan memeriksa suhu badan pekerja.

“Walapun Shell sentiasa menunjukkan sokongan terhadap petugas kesihatan barisan hadapan, kesejahteraan pekerja dan pelanggan kami tetap menjadi keutamaan. Terima kasih kepada petugas barisan hadapan, Shell mampu memberikan pelanggan ketenangan minda semasa mereka berada di stesen kami,” kata Shairan Huzani Husain, Pengarah Urusan Shell Malaysia Trading Sdn Bhd dan Shell Timur Sdn Bhd.

Previous post

Nampak gayanya FIAT Tidak Akan Kembali Ke Malaysia

Next post

Mazda3 Menang Anugerah Reka Bentuk Kereta Dunia 2020

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *