Berita Auto

Ini Adalah Audi A3 Sedan Generasi Kedua

Selepas memperkenalkan A3 Sportback pada bulan lepas, Audi kini mendedahkan pula model sedan yang akan memasuki pasaran Eropah bermula musim panas tahun ini.

Walaupun A3 Sportback sudah memasuki generasi keempat, A3 Sedan baru sahaja memasuki generasi kedua. Jika dibandingkan dengan model generasi pertama, model baharu ini menampilkan reka bentuk yang lebih sporty dan elegan.

Ia juga lebih besar dengan ukuran panjang 4,500 mm (+ 40 mm), lebar 1,820 mm (+ 20 mm) dan tinggi 1,430 mm (+ 10 mm). Apa yang tidak berubah adalah jarak roda iaitu 2,637 mm dan kapasiti ruang but iaitu 425 liter.

Rekaan baharu ini bukan sahaja lebih segar, malah memberikan kelebihan dari segi aerodinamik. Menurut Audi, A3 Sedan baharu mempunyai pekali seretan 0.25 Cd atau 0.04 Cd lebih rendah berbanding sebelum ini.

Seperti yang dijangka, ruang kabin model sedan ini tidak jauh berbeza dengan model Sportback. Kelengkapan utama yang disediakan adalah skrin sentuh MMI berukuran 10.1 inci dan kluster instrumen digital 10.25 inci. Kluster instrumen tersebut boleh dinaik taraf kepada unit Virtual Cockpit Plus dengan skrin 12.3 inci.

A3 Sedan menggunakan sistem infotainmen generasi ketiga (MIB 3) yang dikatakan 10 kali lebih pantas berbanding sistem yang terdapat pada model terdahulu. Antara ciri yang disertakan termasuklah Apple CarPlay, Android Auto, sambungan LTE, Wifi Hotspot dan servis Car-to-X.

Pilihan enjin untuk A3 Sedan terdiri daripada enjin TFSI dan TDI. Bagi varian 35 TFSI yang menampilkan enjin 1.5-liter dengan 150 PS dan 250 Nm, ia boleh didapati dengan kotak gear manual enam kelajuan atau kotak gear automatik S tronic tujuh kelajuan dengan sistem mild-hybrid 48 volt.

Sementara itu, varian 35 TDI pula mempunyai enjin diesel 2.0-liter yang menghasilkan 150 PS dan 360 Nm. Ia dipadankan dengan transmisi S tronic tujuh kelajuan dengan teknologi shift-by-wire baharu.

Sistem suspensi A3 Sedan ditala untuk pemanduan yang sporty dan selesa pada yang sama. Namun pelanggan boleh mendapatkan sistem suspensi sport yang mempunyai peredam adaptif.

Previous post

Beberapa Kilang Daihatsu Dan Toyota Di Jepun Menangguhkan Operasi

Next post

Kini Anda Boleh Langgan Renault Captur Pra-Milik

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *