Berita Auto

Land Rover Discovery Sport R-Dynamic Dilancarkan

Land Rover Discovery Sport versi baharu telah dilancarkan secara rasmi di Malaysia dalam varian R-Dynamic, dengan dua pilihan konfigurasi tempat duduk iaitu lima tempat duduk (RM379,800) dan 5+2 tempat duduk (RM409,800).

Dari segi reka bentuk, model yang dipertingkatkan ini menampilkan rekaan lampu LED lebih segar pada bahagian hadapan dan belakang, selain jeriji dan bampar baharu.

Ia dibina di atas platfrom Premium Transverse Architecture (PTA) baharu yang dikatakan 13% lebih tegar berbanding platform sebelum ini, sekaligus menyumbang kepada pengurangan bunyi dan gegaran.

Di dalam, terdapat sistem infotainmen Touch Pro dengan skrin 10 inci yang menyokong ciri Apple CarPlay dan Android Auto. Paparan interaktif pemandu disertakan secara standard dengan skrin 12 inci yang memaparkan pelbagai maklumat mengenai pemanduan, hiburan dan data keselamatan aktif.

Satu lagi ciri terkini pada model ini adalah teknologi ClearSight Ground View yang memaparkan pemandangan di bawah kenderaan bagi memudahkan pemandu. Turut disertakan adalah paparan ‘head up’ generasi kedua dan pengecas wayarles.

Untuk pasaran Malaysia, Discovery Sport hadir dengan enjin turbo petrol Ingenium 2.0-liter empat silinder yang menghasilkan 200 hp dan 320 Nm. Enjin tersebut dipadankan dengan transmisi automatik sembilan kelajuan keluaran ZF.

Kuasa disalurkan ke roda menerusi Driveline Disconnect yang diterapkan ke dalam sistem pacuan semua roda (AWD). Selain itu, terdapat juga sistem Terrain Response 2 yang merangkumi mod Comfort, Sand, Grass-Gravel-Snow, Mud & Ruts dan Auto. Setiap mod pemanduan mengubahsuai tindak balas pendikit, brek, differential dan transmisi.

Bagi sistem keselamatan, SUV ini didatangkan dengan tujuh beg udara, bantuan parkir hadapan dan belakang, High-speed Emergency Braking, Adaptive Cruise Control, Lane Keep Assist, Driver Condition Monitor serta kamera 360-darjah dengan ciri Wade Sensing.

Setiap model yang diedarkan oleh Jaguar Land Rover Malaysia didatangkan dengan program Land Rover Care yang merangkumi jaminan lima tahun/150,000 km, servis lima tahun/65,000 km dan bantuan tepi jalan tiga tahun.

Previous post

Toyota Gazoo Racing Festival Pusingan 4 Ditutup Kepada Pengunjung

Next post

Volkswagen Arteon Dapat Lebih Kuasa Pada 2020

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *