Berita Auto

Bugatti Chiron Pur Sport – Hypercar Berfokuskan Pengendalian

Tahun lepas, presiden Bugatti Stephan Winkelmann mengesahkan bahawa syarikat itu akan melancarkan dua versi baharu Chiron. Pur Sport merupakan salah satu daripadanya dan ia dibangunkan dengan fokus terhadap pengendalian, aerodinamik dan pengurangan berat.

Jika dibandingkan dengan versi biasa, Chiron Pur Sport adalah 50 kg lebih ringan. Pengurangan berat dicapai menerusi penggunaan rim magnesium baharu, sistem ekzos titanium yang dihasilkan menerusi pencetakan 3D, pad brek titanium serta upholsteri Alcantara di dalam kabin.

Bagi meningkatkan tahap aerodinamik, bampar hadapan model ini mempunyai bukaan yang lebih besar manakala di belakang pula terdapat spoiler tetap (fixed) berukuran 1.9 meter panjang yang mampu menjana ‘downforce’ yang tinggi.

Chiron Pur Sport masih dikuasakan oleh enjin quad-turbo 8.0-liter W16 yang menghasilkan 1,500 PS dan 1,600 Nm, namun redline enjin tersebut telah dinaikkan sebanyak 200 rpm kepada 6,900 rpm.

Bukan itu sahaja, transmisi klac berkembar tujuh kelajuan yang ditugaskan untuk menggerakkan keempat-empat roda turut ditambahbaik dan kini mempunyai nisbah 15% lebih dekat untuk meningkatkan pecutan.

Turut diberi peningkatkan adalah casis, kini dengan gegelung yang lebih keras sebanyak 65% di hadapan dan 33% di belakang, serta strategi kawalan peredam adaptif yang ditala untuk prestasi. Model ini turut mendapat penstabil gentian karbon untuk mengurangkan olengan.

Satu lagi ciri baharu adalah mod Sport+ sebagai tambahan kepada mod EB, Motorway, Handling dan Sport yang sedia ada. Dalam mod ini, sistem Traction Control akan diaktifkan lebih lambat bagi membolehkan pemandu berkemahiran tinggi melakukan aksi drift di dalam litar lumba yang kering.

Dari segi pengeluaran, Bugatti merancang untuk menghasilkan 60 unit Chiron Pur Sport dengan harga bermula dari 3 juta Euro (RM14 juta) setiap satu.

Previous post

Volvo Bersarakan Hatchback V40 - Beli Yang Terpakai Hari Ini

Next post

Aston Martin V12 Speedster Hanya Untuk 88 Individu Bertuah

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *