Berita Auto

Aston Martin V12 Speedster Hanya Untuk 88 Individu Bertuah

Aston Martin telah memperkenalkan satu lagi model eksklusif edisi terhad iaitu V12 Speedster.

Dibangunkan dengan kerjasama divisyen ‘Q by Aston Martin’, rekaan model ini menampilkan gabungan elemen jentera lumba klasik Aston Martin iaitu DBR1 1959 dan DB3S 1953 dengan CC100 Speedster Concept yang diperkenalkan pada 2013.

Bagi memastikan berat berada pada tahap minimum, badan V12 Speedster dibentuk menggunakan gentian karbon manakala casisnya pula diperbuat daripada aluminium.

Seperti yang anda boleh lihat, ia tidak mempunyai bumbung dan juga penghadang angin. Hanya dua tempat duduk disediakan dan kedua-duanya dipisahkan oleh apa yang Aston Martin gelar sebagai ‘tulang belakang’. Apa yang menarik, bonggol yang terdapat di belakang tempat duduk menyembunyikan ruang kargo tambahan.

Seperti yang ditampilkan pada namanya, model ini dikuasakan oleh enjin 5.2-liter twin-turbo V12 yang menghasilkan 700 hp dan 753 Nm. Dengan transmisi automatik lapan kelajuan yang memacu roda belakang, pecutan 0-100 km/j boleh dilakukan dalam 3.5 saat manakala kelajuan maksimum adalah 300 km/j.

Selain itu, V12 Speedster dilengkapi dengan suspensi ‘double wishbone’ pada bahagian hadapan dan ‘multi-link’ di belakang. Ia juga mempunyai peredam adaptif dengan tiga mod berbeza iaitu Sport, Sport+ dan Track.

Rim aloi tempaan berukuran 21 inci dipadankan dengan brek karbon seramik berukuran 410 mm di hadapan dan 360 mm di belakang.

Pengeluaran V12 Speedster akan dihadkan kepada 88 unit sahaja dengan harga bermula dari £765,000 (RM4.15 juta) setiap satu.

Previous post

Bugatti Chiron Pur Sport - Hypercar Berfokuskan Pengendalian

Next post

Kia Seltos Akan Datang Ke Bilik Pameran Malaysia

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *