Berita Auto

SSC Tuatara Hadir Dengan 1,750 HP

Nama SSC mungkin jarang disebut namun ini tidak bermakna syarikat ini patut diperkecil-kecilkan kerana suatu masa dahulu, model keluarannya iaitu Ultimate Aero pernah memegang rekod kelajuan maksimum sebelum ia dirampas oleh Bugatti Veyron Super Sport.

Kini, SSC telah memperkenalkan produk terbarunya yang dikatakan bakal mencecah kelajuan 300 bsj (482 km/j) iaitu Tuatara. Hanya 100 unit akan dihasilkan dan unit produksi pertama telah diperkenalkan di Philadelphia Auto Show.

Menggerakkan Tuatara adalah enjin 5.9-liter twin-turbo V8 yang mampu menghamburkan 1,350 hp dengan petrol biasa 1,750 hp dengan bahan bakar etanol E85. Enjin tersebut dipadankan dengan transmisi CIMA tujuh kelajuan yang dikatakan boleh menukar gear dalam 100 milisaat.

SSC masih belum mendedahkan masa pecutan 0-100 km/j dan kelajuan maksimum jentera terbarunya ini, namun dengan berat 1,247 kg dan pekali seretan yang rendah iaitu 0.279, sudah pasti ia merupakan antara hypercar yang terpantas setakat ini.

Berat keseluruhan yang rendah itu dicapai menerusi penggunaan gentian karbon untuk panel badan dan casis monocoque. Direka oleh Jason Castriota yang bertanggungjawab mereka Ferrari 599 dan Maserati GranTurismo, Tuatara turut dilengkapi dengan pintu dihedral.

Di dalam, jentera ini hadir dengan sistem audio premium, sistem infotainmen dengan skrin sentuh, pendingin hawa, paddle shifter dan stereng tilt dan teleskopik. Menurut SSC, kabin ini mampu memuatkan pemandu berketinggian sehingga 6 kaki 5 inci (1.95 m) walaupun memakai topi keledar.

Harga tidak didedahkan namun ia dijangka mencecah $1.3 juta (RM5.4 juta). Selain Chiron Super Sport 300+, Tuatara juga bakal bersaing dengan Hennessey Venom F5 dan Koenigsegg Jesko dalam misinya untuk mencatat kelajuan maksimum tertinggi.

Previous post

Nissan Guna GT-R Untuk Rakam GT-R NISMO 2020

Next post

Michelin X Multi Z 2 Terjah Pasaran Tayar Trak Asia

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *