Konsep / Lakaran / Intipan

Toyota Dilaporkan Sedang Bangunkan Supra GRMN

Kurang dari setahun selepas memperkenalkan GR Supra, Toyota kini dilaporkan sedang membangunkan versi GRMN yang lebih berkuasa.

Menurut laman web Best Car Web dari Jepun, Supra GRMN bakal menampilkan enjin turbo 3.0-liter enam silinder yang ditala untuk menghasilkan 395 hp.

Untuk perbandingan, GR Supra versi standard (varian GTS) yang dikuasakan oleh enjin sama mempunyai 335 hp dan 500 Nm, dengan transmisi automatik lapan kelajuan ditugaskan untuk menggerakkan roda belakang.

Mendapatkan kuasa tambahan sebanyak 60 hp daripada enjin BMW itu bukanlah sesuatu yang sukar kerana beberapa tuner seperti Litchfield sudah pun berjaya mencapai lebih dari 400 hp dengan hanya menala ECU.

Malah, GR Supra GT4 yang dibangunkan oleh divisyen sukan permotoran Toyota sendiri mempunyai 430 hp daripada enjin yang sama.

Selain daripada kuasa yang lebih tinggi, Supra GRMN turut dilaporkan akan menggunakan komponen gentian karbon bagi tujuan pengurangan berat.

Casis pula akan diperkukuhkan dan disokong oleh sistem suspensi yang dinaik taraf. Sesuai dengan tahap prestasinya yang lebih tinggi, model ini juga dijangka hadir dengan kit badan yang lebih agresif.

Supra GRMN berkemungkinan akan diperkenalkan pada tahun ini. Kami tidak mahu menaruh harapan yang tinggi tetapi sebelum ini, ketua jurutera Toyota iaitu Tetsuya Tada pernah mendedahkan bahawa syarikat itu merancang untuk memperkenalkan versi baharu Supra setiap tahun.

Previous post

Renault Lantik Ketua Pegawai Eksekutif Baharu

Next post

Kadar Tol PLUS Turun 18 Peratus Mulai 1 Februari 2020

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *