Gaya Hidup

Touch ‘n Go eWallet Kini di Pulau Pinang

Pulau Pinang melalui transformasi ke dunia tanpa tunai dengan Touch ‘n Go eWallet, perkhidmatan e-dompet yang membolehkan penduduk negeri itu menikmati transaksi tanpa tunai di pelbagai bazar dan pasar malam di jalan-jalan warisan utamanya.

Dilancarkan dengan sokongan Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan dirasmikan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Yang Amat Berhormat Chow Kon Yeow, Touch ‘n Go eWallet membolehkan transaksi digital dilakukan di seluruh Pulau Pinang, termasuk gerai-gerai dan pusat penjaja di bandar warisan George Town.

Dengan perkhidmatan ini, pelanggan hanya perlu mengimbas kod QR peniaga untuk melakukan pembelian, tanpa perlu risau tentang adanya wang tunai atau penukaran baki.

Ignatius Ong, Ketua Pegawai Eksekutif TNG Digital Sdn Bhd berkata, “Kami teruja untuk membawa kepakaran kami ke Pulau Pinang kerana ini merupakan langkah yang sesuai bagi menjayakan visi kami untuk menjadikan Malaysia negara tanpa tunai.”

“Kami mahu memainkan peranan aktif dalam menyokong pertumbuhan ekonomi Pulau Pinang menerusi pengenalan sistem pembayaran digital untuk peniaga tempatan,” tambah beliau.

Kemasukan Touch ‘n Go eWallet ke Pulau Pinang adalah sejajar dengan pelan tindakan ‘Penang2030’ yang memberi tumpuan kepada peningkatan kesesuaian hidup, ekonomi, penyertaan awam dan pembangunan yang seimbang untuk menjadi ‘Negeri yang Mementingkan Keluarga, Kehijauan dan Kepintaran’.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Yang Amat Berhormat Chow Kon Yeow berkata, “Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada Touch ‘n Go eWallet atas usaha berterusan yang memberi manfaat bukan sahaja kepada pengguna seharian, tetapi juga kepada peniaga tempatan kami. Saya sangat gembira melihat perniagaan tempatan kami menerima dan menggunakan Touch ‘n Go eWallet sebagai mod pembayaran digital mereka.”

Touch ‘n Go eWallet mula mengorak langkah di Pulau Pinang pada tahun 2018 dengan mewujudkan perkongsian dengan syarikat pemulaan tempatan MULA dan DeliverEat, di mana Touch ‘n Go eWallet ditawarkan sebagai salah satu cara pembayaran bagi pelanggan mereka.

Previous post

Ford Kongsi Laporan Kecenderungan Global 2020 Mereka

Next post

Tawaran Tahun Baharu Cina Honda Malaysia

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *