Berita Auto

Program Subsidi Kerusi Kereta Kanak-Kanak BMW Malaysia Disambut Baik

Program Subsidi Kerusi Kereta Kanak-Kanak yang dilancarkan oleh BMW Malaysia dengan kerjasama Safe ‘n Sound dan Childline Foundation pada Disember tahun lalu telah meraih lebih daripada 25,000 pendaftaran hanya dalam masa dua minggu.

Sashi Ambi, Ketua Komunikasi Korporat BMW Group Malaysia berkata, “Sambutan menggalakkan yang diterima bagi fasa pertama program subsidi berkenaan jelas menunjukkan bahawa ibu bapa kini lebih cakna mengenai keperluan kerusi kereta kanak-kanak dan lekas mengamalkan penggunaannya jika diberikan peluang yang bersesuaian.”

Beliau turut mengalu-alukan syarikat yang mampu membantu mensubsidikan kerusi kereta kanak-kanak untuk menyertai program subsidi berkenaan sebagai langkah untuk mendahulukan keselamatan kanak-kanak di dalam kereta.

Program subsidi ini telah diperkenalkan sebagai sebahagian daripada inisiatif BMW Safety 360°. Dalam fasa pertamanya, BMW Malaysia, Childline Foundation dan Safe ‘n Sound telah menyediakan 150 unit kerusi kereta kanak-kanak snskidz Ace pada harga bersubsidi berjumlah RM 100 seunit untuk ibu bapa yang tergolong dalam kumpulan pendapatan B40.

Kerusi kereta kanak-kanak tersebut telah diserahkan kepada para ibu bapa dari daerah Lembah Klang baru-baru ini, manakala kerusi khas yang masih berbaki akan diagihkan tidak lama lagi di seluruh negara.

Dengan tetapan menghala ke belakang, kerusi khas yang bernilai RM199 ini boleh digunakan dari usia kelahiran sehingga berat bayi mencecah 13kg. Ia turut hadir dengan hadir dengan persijilan ECE R44-04.

Pihak yang berminat boleh menyertai program subsidi ini dengan mengirim penyertaan ke bmw@voxeureka.com sebelum 13 Februari 2020. Dalam kiriman tersebut, nyatakan nama organisasi dan jumlah subsidi (dalam Ringgit Malaysia) yang ingin ditawarkan.

Program subsidi berkenaan adalah sejajar dengan inisiatif Kementerian Pengangkutan Malaysia untuk menguatkuasakan penggunaan kerusi kereta kanak-kanak mulai tahun ini. Bagi menggalakkan penggunaan kerusi kereta kanak-kanak, para pemandu tidak akan didenda sepanjang enam bulan pertama peraturan tersebut dikuatkuasakan namun mereka akan diberikan amaran.

Previous post

Nissan 370Z Milik Paul Walker Dilelong

Next post

Harga Pengecasan IONITY EV Meningkat Sebanyak 500%

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *