Bisnes

Perodua Jual 240,341 Unit Tahun Lalu, Tertinggi Dalam Sejarahnya

Perodua, dalam satu sidang media hari ini, mengumumkan bahawa ia telah berjaya memecahkan rekod jualan tahunannya dengan 240,341 unit terjual pada tahun lalu.

Menurut syarikat itu, pencapaian tersebut didorong oleh permintaan yang tinggi untuk semua modelnya iaitu Alza, Aruz, Bezza, Axia dan Myvi.

“Pencapaian ini di luar jangkaan kami. Kami berterima kasih kepada semua rakyat Malaysia atas sokongan padu mereka,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Dato’ Zainal Abidin Ahmad.

Angka jualan 2019 Perodua mewakili peningkatan sebanyak 13,098 unit (+5.8%) berbanding 227,243 unit yang dicapai pada 2018. Apa yang lebih membanggakan buat Perodua adalah ia merupakan angka jualan tahunan tertinggi dalam sejarah syarikat tersebut.

Tambah Dato’ Zainal lagi, penguasaan pasaran Perodua turut meningkat dari 38% pada tahun 2018 kepada hampir 40% berdasarkan anggaran jumlah keseluruhan industri (TIV) 604,775 unit.

Semua model Perodua menerajui segmen masing-masing pada tahun lalu, termasuk Aruz yang menjadi SUV terlaris negara dengan jualan mencecah 30,115 unit.

Bagi tahun 2020, Perodua menetapkan sasaran jualan sebanyak 240,000 unit iaitu setanding dengan tahun lalu. Walaupun persaingan dijangka bertambah sengit pada tahun ini, syarikat itu optimis ia mampu dicapai.

Untuk pengeluaran pula, Perodua menyasarkan peningkatan sebanyak 4% ke 254,000 unit daripada 244,400 unit pada 2019. Angka ini merangkumi pengeluaran untuk eksport dan penyimpanan stok untuk 2021.

Selaras dengan peningkatan pengeluaran, syarikat itu menjangkakan perbelanjaan RM6 bilion tahun ini untuk membeli komponen tempatan, berbanding RM5.4 bilion tahun lepas.

Dari segi eksport 2019, Bezza menjadi sedan bawah-1.0 liter terlaris di Sri Lanka, manakala Perodua memasuki pasaran baharu, Seychelles.

“Walaupun eksport kami kekal berskala kecil pada kira-kira 2,800 unit tahun lepas, kami akan teruskan usaha membina jenama kami di peringkat antarabangsa ke arah meningkatkan angka tersebut tahun ini,” ujar Dato’ Zainal.

Bagi aspek selepas jualan, Perodua menyaksikan 2.35 juta pengambilan servis pada 2019 melalui 186 pusat servisnya di seluruh negara – kenaikan 8.3% berbanding 2.17 juta pengambilan servis pada 2018.

Dato’ Zainal menambah bahawa Perodua akan terus bekerjasama dengan para pengedarnya, yang kini membentuk 75% daripada rangkaian jualan dan servisnya, untuk menaik taraf dan melabur untuk meningkatkan kepuasan pelanggan.

Previous post

Pengeluaran BMW i8 Bakal Ditamatkan April Ini

Next post

Perodua Bezza 2020 Terima 15,000 Tempahan

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *