Berita Auto

Alpine A110 SportsX – Model Konsep Rali

Masih ingat Alpine A110 yang mula diperkenalkan tiga tahun lalu? Kereta sport Perancis itu kini mempunyai varian konsep rali yang dikenali sebagai SportsX.

Dibangunkan sempena kejayaan A110 (versi asal) dalam perlumbaan rali ketika era 70-an, model ini diperkenalkan kepada orang ramai pada acara International Automobile Festival of the Invalides di Paris baru-baru ini.

Dari segi reka bentuk, SportsX diinspirasikan oleh jentera rali A110 yang pernah memenangi rali Monte Carlo 1973. Badannya dilebarkan sebanyak 80 mm, manakala ketinggiannya dinaikkan sebanyak 60 mm bagi menghasilkan ruang lega tanah yang lebih besar.

Modifikasi lain tidak dinyatakan kecuali yang jentera ini mempunyai “karakter teknikal” yang sama dengan model asas. Ini bermakna ia kekal dengan enjin turbo 1.8-liter yang menjana 248 hp dan 320 Nm.

Dengan transmisi klac berkembar tujuh kelajuan dan sistem pacuan roda belakang, ia mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 4.5 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 250 km/j.

Menurut Alpine, A110 SportsX adalah hasil kerjasama antara divisyen reka bentuk dan kejuruteraannya. Bagaimanapun, model konsep yang unik ini bukan untuk dijual.

Previous post

Porsche Bina Pusat Pengalaman Ultra-Moden di Itali

Next post

Harapan Memandu Uji Empat Belas Kereta Baharu 2020 Ini

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *