Bisnes

Proton Catat Peningkatan Jualan 100% Pada November

Tahun 2019 kini tiba ke penghujungnya dan Proton terus mencatatkan jualan kukuh dengan jualan sebanyak 9,643 unit pada bulan November, peningkatan sebanyak 100% berbanding tempoh sama tahun lalu.

Jumlah kumulatif untuk tahun ini adalah sebanyak 89,476 unit, menunjukkan pertumbuhan 50.1% untuk jumlah dari tahun ke tahun, manakala pegangan pasaran kini dianggarkan berada pada 16.2% bagi keseluruhan tahun 2019.

Saga merekodkan jualan sebanyak 4,000 unit untuk tiga bulan berturut-turut, dengan 4,091 unit diserahkan kepada pelanggan pada November lalu. Dengan jualan keseluruhan sebanyak 34,422 unit setakat ini, pertumbuhan volumnya kini berada pada 32%, yang terbaik berbanding mana-mana model dalam segmen A.

“Saga merupakan kejayaan besar untuk Proton sejak ia dilancarkan pada bulan Ogos. Dalam tempoh hanya empat bulan, Syarikat telah mendapat lebih daripada 35,000 tempahan dan pada ketika ini, setiap unit yang berada di kilang sudah ada pemiliknya,” kata Dr Li Chunrong, Ketua Pegawai Eksekutif Proton.

Sementara itu, X70 terus mendapat permintaan daripada pelanggan walaupun sudah setahun dilancarkan dengan jualan melebihi 2,000 unit pada bulan November.

“Peningkatan ini menunjukkan bahawa pelanggan masih berminat dengan SUV pintar yang ditawarkan dan kami mensasarkan untuk mengekalkan prestasi ini pada tahun akan datang,” ujar Dr Li Chunrong.

Berikutan kilang baharu di Tanjung Malim yang akan memulakan operasi tidak lama lagi, barisan jurutera Proton berikrar untuk menghasilkan produk yang sepadan atau lebih baik berbanding kenderaan yang dihasilkan oleh pengeluar lain daripada kumpulan automotif Geely Auto.

“Proton telah diarahkan untuk menjadi salah sebuah pusat pengeluaran bagi pemanduan belah kanan bagi kumpulan itu, jadi untuk melaksanakannya dengan baik, kualiti pengeluaran kami mestilah sepadan dengan tahap yang dicapai oleh barisan kumpulan yang lain,” tambah Dr Li Chunrong.

Previous post

Jaguar F-Type Facelift Lebih Tampan, Lebih Berkuasa

Next post

Audi Akan Memotong 9,500 Pekerjaan Untuk Membiayai Pengeluaran Kereta Elektrik

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *