Cerita Auto

McLaren 620R Adalah Jelmaan Jentera Lumba GT4

2019 merupakan tahun yang agak sibuk bagi McLaren dengan pelancaran beberapa model utama seperti Elva, GT, 600LT Spider dan bermacam lagi model edisi istimewa/terhad.

Tetapi sebelum tahun ini melabuhkan tirainya, pengeluar supercar British itu telah memperkenalkan satu lagi model baharu yang dikenali sebagai 620R.

Terhad kepada 350 unit untuk seluruh dunia, model yang diasaskan daripada jentera lumba 570S GT4 ini dibangunkan untuk kegunaan di jalan raya.

620R menggunakan enjin 3.8-liter twin-turbo V8 yang sama namun dengan output yang mencecah 620 PS dan 620 Nm, ia menduduki takhta Sport Series sebagai model paling yang berkuasa dalam barisan itu.

Dengan transmisi SSG tujuh kelajuan yang memacu roda belakang, jentera ini mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 2.9 saat dan dari 0 hingga 200 km/j dalam 8.1 saat. Kelajuan maksimum adalah 322 km/j.

Selain enjin yang lebih berkuasa, prestasi 620R turut dibantu oleh pakej aerodinamik yang merangkumi ‘dive plane’ pada bampar hadapan dan spoiler belakang gentian karbon (sama seperti yang terdapat pada 570S GT4) yang boleh menjana 185 kg ‘downforce’ maksimum.

Satu lagi komponen 570S GT4 yang dipinjam oleh model ini adalah peredam boleh laras yang membolehkan pemandu mengubah mampatan dan lantunan mengikut gaya pemanduan masing-masing.

Sistem brek pula terdiri daripada cakera karbon seramik berukuran 390 mm di hadapan dan 380 mm di belakang. Ia dipadankan dengan angkup brek aluminium yang dikatakan lebih lasak dan tahan lama.

620R didatangkan standard dengan tayar semi-slick Pirelli P Zero Trofeo R, namun pelanggan yang ingin beraksi di litar boleh memilih untuk mendapatkan tayar slick yang memberikan sentuhan permukaan 8% lebih besar.

Menurut McLaren, ini merupakan pertama kali rim 20 dan 21 inci dibangunkan untuk menggunakan tayar slick tanpa perlu melakukan sebarang ubah suai mekanikal tambahan.

Boleh didapati dalam tiga warna, 620R ditawarkan pada harga bermula £250,000 (RM1.36 juta). Ia akan dipasang di kilang McLaren di Woking, Surrey bermula Januari tahun hadapan.

Previous post

Subaru Forester Terima Penarafan Lima Bintang Euro NCAP

Next post

Toyota RAV4 Menangi Anugerah Kereta Tahunan Jepun 2019

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *