Berita Auto

Jaguar F-Type Facelift Lebih Tampan, Lebih Berkuasa

Adil jika dikatakan bahawa Jaguar F-Type, samada dalam versi coupe atau convertible, adalah antara kereta sport yang paling menawan di dunia. Kini, model itu telah diberikan facelift serta kelengkapan dan enjin yang dipertingkatkan.

Dari segi penampilan, lampu utama F-Type kini lebih langsing dan hadir dalam bentuk melintang dengan lampu nyalaan siang ‘Calligraphy’ J. Hud dan bampar direka semula, manakala bukaan gril kini lebih besar.

Di belakang, perubahan melibatkan lampu belakang di mana terdapatnya corak LED yang diinspirasikan oleh crossover elektrik I-Pace.

Di dalam, F-Type mendapat kluster instrumen digital berukuran 12.3 inci dan sistem infotainmen Touch Pro dengan ciri Apple CarPlay dan Android Auto. Jaguar menawarkan dua pilihan sistem audio Meridian.

Semua enjin yang ditawarkan sebelum ini dikekalkan pada F-Type facelift. Ini termasuk enjin 2.0-liter empat silinder dengan 300 PS dan enjin 5.0-liter V8 supercharged dengan 450 PS atau 575 PS.

Enjin V8 450 PS tersebut mempunyai 580 Nm tork yang boleh dicapai dari 2,500 rpm. Ia ditawarkan dalam versi AWD dan RWD, kedua-duanya boleh memecut dari 0 hingga 96 km/j dalam 4.4 saat dengan kelajuan maksimum 285 km/j.

Sementara itu, varian F-Type R dikuasakan oleh enjin V8 supercharged dengan 575 PS dan 700 Nm, meningkat dari 550 PS dan 680 Nm sebelum ini. Ia boleh melakukan pecutan tersebut dalam 3.5 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 300 km/j.

Semua enjin tersebut kini hadir dengan sistem ekzos aktif, manakala enjin V8 supercharged mendapat fungsi Quiet Start yang memastikan injap ekzos ditutup semasa enjin dihidupkan.

Selain itu, F-Type R turut mendapat rim 20 inci baharu yang dipadankan dengan komponen suspensi baharu yang merangkumi peredam adaptif, gegelung, anti-roll bar dan sendi bebola yang lebih keras.

Previous post

Patutkah Peniaga Mempromosikan Proton X50?

Next post

Proton Catat Peningkatan Jualan 100% Pada November

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *