Khidmat Masyarakat

Bengkel Driving Skills For Life Ford Pertama Di Sabah

Ford Anjur Bengkel Driving Skills for Life yang Pertama di Sabah untuk Galak Sikap Pemanduan Berhemah

Driving Skills For Life Ford

Bagi menggalakkan sikap pemanduan berhemah dan kesedaran tentang keselamatan jalan raya di Malaysia, Ford dan pengedar tunggalnya, Sime Darby Auto ConneXion (SDAC), baru – baru ini melancarkan program latihan pemandu berhemah kebanggaan Ford, Driving Skills for Life (DSFL) untuk julung kalinya di Sabah, Malaysia.

Lebih daripada 80 pelanggan Ford serta orang ramai mengambil bahagian dalam bengkel separuh hari itu yang meliputi sesi teori dan praktikal. Sejumlah empat sesi dijalankan pada hujung minggu 16 -17 November yang lalu.

Dijalankan secara percuma, program DSFL ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran tentang keselamatan jalan raya, dan membantu mengurangkan kemalangan maut dan kecederaan, dengan cara mendidik para pemandu tentang kemahiran dan teknik yang diperlukan untuk memandu dengan lebih selamat.

Malaysia mencatatkan kadar pemilikan kenderaan tertinggi di rantau ini. [1] Walaupun Sabah dan Sarawak mempunyai jumlah kenderaan yang lebih rendah, tetapi kadar kemalangan maut semakin meningkat, dan antara punca utama ialah pengguna gagal mematuhi peraturan dan undang-undang keselamatan jalan raya. [2]

Bengkel tersebut merangkumi pelbagai risiko yang dihadapi oleh pemandu dan latihan difokuskan kepada empat bahagain penting:

  • Gangguan – Membuat keputusan bijak semasa memandu untuk menghadkan gangguan dan sentiasa fokus dalam pemanduan
  • Mengenali situasi bahaya – Bagaimana untuk mengenali potensi bahaya di persimpangan dan zon-zon selamat
  • Pengurusan had laju dan jarak – Belajar bagaimana untuk menyesuaikan had laju dan jarak sekeliling, di hadapan dan belakang sambil mengelak dari dilanggar
  • Kawalan kenderaan – Memahami kemampuan kenderaan dan belajar untuk mengawal kenderaan dengan lebih baik dengan mengoptimumkan ciri ciri keselamatan seperti Brek Kecemasan Autonomi (AEB), Sistem Parkir Separa Selari (SAPP), Amaran Perlanggaran Hadapan dan Amaran Keluar Lorong.

Kemalangan akibat kebolehan pemanduan yang terganggu selepas pengambilan minuman beralkohol dan ubat-ubatan turut diterapkan di dalam program tersebut. Ini dicapai melalui pemakaian cermin mata khusus yang memberikan peserta pengalaman memandu dengan daya penglihatan, pergerakan dan koordinasi yang terganggu.

Angka terbaharu yang diberikan oleh Organisasi Kesihatan Sedunia (WHO) menunjukkan bahawa lebih kurang 1.35 juta orang maut akibat kemalangan jalan raya setiap tahun, manakala antara 20 hingga 50 juta yang lain menderita akibat kecederaan yang mengakibatkan ketidakupayaan. [3]. Amat membimbangkan apabila statistik dari WHO menunjukkan bahawa kecederaan akibat kemalangan jalan raya sekarang ini adalah punca utama kematian di kalangan kanak-kanak dan remaja berusia di antara 5-29 tahun.

Selepas 16 tahun diwujudkan, Driving Skills for Life oleh Ford telah memberikan latihan percuma kepada lebih daripada sejuta pemandu-pemandu baharu di 40 buah negara, yang melibatkan pelaburan melebihi $50 juta. Ia juga menyerlahkan komitmen Ford dalam menggalakkan keselamatan jalan raya.

[1] Pemandu dan Penggunaan Telefon Mudah Alih  

[2] Suruhanjaya Polis Negeri Sabah

[3] Laporan Global Status Keselamatan Jalan raya

Previous post

Hyundai Tambah Cawangan 3Snya Di Pulau Pinang

Next post

Mazda Charity Golf Ke 7 Anjuran Bermaz Motor Berjaya Kutip RM447,550.00

Ross Hadi

Ross Hadi

21 tahun mengacara di radio.
8 tahun bersama Daniel Ferrnandez dalam rancangan Car Tunes di radio.
Kini di sini dan media sosial sejak 2014.

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *