Berita Auto

Bentley Rai Kejayaan Pikes Peak dengan Model Edisi Terhad

Bentley telah memperkenalkan Continental GT edisi terhad bagi meraikan kejayaan jenama itu dalam acara Pikes Peak International Hill Climb pada Jun lalu.

Terhad kepada 15 unit sahaja, model ini hadir dalam warna eksklusif Radium daripada katalog Mulliner, kit badan gentian karbon serta kemasan hitam berkilat pada bahagian bawah bampar hadapan, cermin sisi, panel bumbung dan bahagian belakang.

Selain itu, jentera Grand Tourer ini turut hadir dengan angkup brek berwarna Acid Green, pelekat Pikes Peak pada bampar hadapan, serta rim Mulliner 22 inci yang dibalut tayar Pirelli P Zero Colour Edition.

Di dalam, upholsteri Alcantara dengan jahitan kontras Radium dipadankan dengan upholsteri Beluga, manakala cetakan ‘Pikes Peak’ menghiasi perehat kepala.

Papan pemuka menampilkan gabungan kemasan hitam piano dan gentian karbon. Setiap kereta hadir dengan grafik Pikes Peak yang berbeza pada papan pemuka sebelah penumpang hadapan.

Seperti jentera yang memecahkan rekod Pikes Peak tahun ini, Continental GT edisi terhad ini dikuasakan oleh enjin twin-turbo 6.0-liter W12 yang menjana 626 hp dan 900 Nm. Ini membolehkannya memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 3.7 saat, dengan kelajuan maksimum 333 km/j.

Pada perlumbaan Pikes Peak tahun ini, Continental GT yang dipandu oleh Rhys Millen berjaya menghabiskan perlumbaan sepanjang 19.9 km itu dengan catatan masa 10 minit 18.4 saat, iaitu 8.4 saat lebih pantas berbanding pemegang rekod terdahulu bagi kategori kereta produksi.

Previous post

Ruang Kabin Mercedes-Benz GLA Diperlihatkan

Next post

Rolls-Royce Red Phantom Akan Dilelong Untuk Bantu Lawan AIDS

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *