Trak Pikap, Van, MPV, Bas & Lori

Volvo Buses, Technology Depository Agency (TDA) dan Prasarana Anjur Persidangan Transit Bas Laju Di Malaysia

Volvo Buses berbesar hati menjadi hos Persidangan Transit Bas Laju (Bus Rapid Transit – BRT) yang pertama di Malaysia pada 19 November 2019, bersama-sama dengan Technology Depository Agency (TDA) dan Prasarana.

Disokong oleh kerajaan Malaysia, Kedutaan Sweden dan Business Sweden – ia bertujuan menyatukan pihak berkepentingan dari seluruh negara demi membentuk misi dan menjalin kerjasama dalam menjadikan Transit Bas Laju satu realiti di Malaysia.

Penganjuran persidangan itu merupakan sebahagian daripada komitmen Volvo Buses terhadap Program Kerjasama Industri (Industrial Collaboration Programme – ICP) di Malaysia. Ia bagi memastikan setiap Ringgit Malaysia yang dibelanjakan untuk pemerolehan kerajaan, negara akan mendapat lebih banyak nilai dalam bentuk peralihan teknologi, pembangunan modal insan dan peningkatan syarikat tempatan dalam rantaian bekalan global. 

ICP itu dipacu oleh pemerolehan 90 unit Bas Dua Tingkat Volvo untuk Rapid Bus, dan ini telah melebihi had sebagaimana yang dijelaskan dalam Polisi dan Garis Panduan Program Kerjasama Industri (ICP) dalam Pemerolehan Kerjaan (Edisi Kedua). Technology Depository Agency (TDA) merupakan sebuah agensi di bawah Kementerian Kewangan Malaysia yang bertanggungjawab dalam mengurus, mentadbir dan memantau semua aktiviti pelaksanaan ICP di Malaysia.

Persidangan ini dihadiri oleh lebih 270 deligasi dan media, serta tetamu kehormat, Menteri Pengangkutan, YB Tuan Loke Siew Fook dan Duta Sweden ke Malaysia, Yang Berbahagia, Dag Juhlin-Dannfelt. Mereka berdua membuka persidangan itu dengan ucapan mengenai masa depan pengangkutan awam di Malaysia. 

Persidangan itu berkongsi pengalaman pakar BRT, menggabungkan aspek pandangan global dengan pengalaman domestik. Matlamat persidangan adalah untuk mengenal pasti serta mengetahui tentang pertimbangan utama berkaitan implementasi BRT seperti perancangan, tender, reka bentuk, pembinaan, operasi dan penyelenggaraan.

Agenda tersebut menggabungkan ucaptama menarik daripada penceramah antarabangsa dan tempatan yang mengagumkan seperti:

  • Xiaomei Duan, Ketua Jurutera, Institut Penyelidikan dan Reka Bentuk Kejuruteraan Majlis Perbandaran Guangzhou, China
  • Yoga Adiwinarto, Pengarah Kejuruteraan dan Kemudahan di PT. Transportasi Jakarta (Transjakarta), Indonesia
  • Sue Chan, Ketua UITP Asia Pasifik, Hong Kong
  • Frits Olyslagers, Pakar Pengangkutan Awam/Institusi, Australia
  • Muhammad Yazurin Sallij Muhammad Yasin, Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus, Malaysia
  • Stefan Widlund, Pengarah Mobiliti Bandar, Volvo Bus Corporation, Sweden

Topik-topik utama yang dibentangkan oleh deligasi adalah:

  • Pandangan global terhadap konsep BRT dan kemapanannnya untuk memakmurkan bandar-bandar
  • Model perniagaan sedia ada menggunakan contoh-contoh dari seluruh dunia
  • Maklumat dalam memilih teknologi, reka bentuk, pembinaan dan operasi yang betul
  • Nilai pengangkutan awam dan implementasi nilai tanah yang dimiliki
  • Pembangunan terkini sistem BRT di Malaysia

Program itu turut melibatkan satu perbincangan panel bertajuk ‘Masa Depan Bas Transit Laju di Malaysia’. Dikendalikan oleh bekas wartawan pengangkutan awam dari India, Sridhar Chari, yang kini bertugas sebagai pegawai perhubungan awam Volvo Buses, perbincangan panel itu bertujuan untuk berkongsi, berbincang dan berdebat mengenai pandangan, pengalaman serta idea tentang masa depan sistem BRT di Malaysia. Panel juga berbincang mengenai pelbagai pilihan teknologi – enjin diesel Euro 6 yang bersih, teknologi hibrid dan bas elektrik, semuanya ada dibincangkan.

Para panelis dalam perbincangan itu termasuklah:

  • Muhammad Yazurin Sallij Muhammad Yasin, Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus, Malaysia
  • Xiaomei Duan, Ketua Pegawai Teknikal, Far East BRT Planning Co. Limited, China
  • Ahmad Radhi, Timbalan Pengurus Besar (Pembangunan) APAD, Malaysia
  • Jan Vandooren, Pengarah Mobiliti Urban, Volvo Bus Corporation, Belgium
  • Yoga Adiwinarto, Pengarah Kejuruteraan dan Kemudahan di PT. Transportasi Jakarta (Transjakarta), Indonesia

“Volvo Buses sangat berbangga untuk menjadi salah seorang rakan penganjur persidangan ini. Volvo memiliki pengalaman luas dalam BRT, malah menjadi yang pertama untuk mencipta dan menawarkan sistem BRT berkapasiti tinggi di Curitiba, Brazil pada tahun 1975. 

“Sejak itu, kami terlibat secara aktif dalam mengembangkan sistem BRT ke semua benua dan menggalakkan perbincangan seperti ini untuk mendapatkan penyelesaian. Bagi bandar-bandar yang pesat membangun, kami telah melihat pelbagai kelebihan daripada sistem BRT seperti pengurangan tempoh perjalanan sehingga 50%, kualiti udara dan tahap keselamatan yang lebih baik berikutan jumlah kenderaan yang semakin kurang di atas jalan raya.

“Di Volvo Buses, kami amat yakin sistem BRT akan menjadi infrastruktur pengangkutan yang paling fleksibel, boleh diskala dan kos efisien. Justeru, kami tidak sabar untuk melihat lebih banyak pembangunan sistem BRT di Malaysia pada masa depan,” kata Naib Presiden Kanan Volvo Buses, Akash Passey.

Ketua Pegawai Eksekutif TDA, Dato’ Zailani Safari menyampaikan ucapan penutup yang memberi rumusan tentang persidangan tersebut. Beliau turut menyatakan tentang pentingnya ICP sebagai satu bentuk alat ekonomi dalam membangun dan mengukuhkan ekonomi Malaysia dengan cara mendapatkan teknologi serta pengetahuan asing yang tidak ada di dalam negara. 

Maklumat yang dikongsi pada persidangan ini sememangnya menguji minda dan mencabar banyak paradigma yang sudah lama digunakan. Acara tersebut sangat dihargai oleh semua peserta kerana ia memberikan pandangan jelas bahawa perjalanan ke arah pelaksanaan BRT kini berada di landasan yang tepat. Namun ia memerlukan semua pihak berkepentingan dari seluruh industri pengangkutan untuk terus bekerjasama bagi mencapai kejayaan dalam jangka masa panjang.

Previous post

Auto Bavaria MINI Ride - Acara Hibrid - Basikal - Hibrid Pertama Pernah Dianjurkan

Next post

Castrol Anjur 'Hari Mekanik Malaysia'

Ross Hadi

Ross Hadi

21 tahun mengacara di radio.
8 tahun bersama Daniel Ferrnandez dalam rancangan Car Tunes di radio.
Kini di sini dan media sosial sejak 2014.

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *