Berita Auto

Mitsubishi Xpander Cross Masuk Pasaran Indonesia

Mitsubishi telah memperkenalkan model terbaru yang akan menyertai barisan Xpander iaitu Xpander Cross. Secara asasnya, model ini menggabungkan ciri-ciri SUV dengan MPV.

Mitsubishi Xpander Cross

Dari segi penampilan, Xpander Cross tampil dengan rekaan Dynamic Shield versi terkini, serta skid plate pada bahagian bawah bampar hadapan dan belakang.

Kehadiran kemasan berwarna hitam di sekeliling badan menjadikan Xpander Cross 50 mm lebih lebar berbanding versi standard, manakala rim aloi berukuran 17 inci dan rel bumbung berwarna perak menjadi pelengkap imej gagah yang ditampilkan oleh model ini.

Xpander Cross hadir dengan dua pilihan warna metalik iaitu Graphite Grey dan Sunrise Orange yang eksklusif untuk model ini. Kedua-duanya boleh didapati dengan bahagian dalaman berwarna hitam/coklat berserta kemasan mesh perak.

Di dalam, antara kelengkapan yang disertakan termasuk stereng dengan pelarasan condong dan teleskopik, Cruise Control, panel instrumen dengan warna kontras dan sistem pendingin hawa dengan penyejukan efektif.

Seperti versi standard, Xpander Cross boleh memuatkan sehingga tujuh penumpang dengan selesa. Namun jika keadaan memerlukan, kerusi barisan kedua boleh dilipat rata secara 60:40 manakala kerusi barisan ketiga boleh dilipat rata secara 50:50.

Kuasa dibekalkan oleh enjin yang sama iaitu enjin 4A91 1.5-liter yang boleh dipadankan dengan transmisi automatik empat kelajuan atau manual lima kelajuan.

Walaupun menampilkan enjin standard, Xpander Cross mempunyai jarak lega tanah berukuran 225 mm, iaitu 20 mm lebih tinggi berbanding Xpander.

Xpander Cross akan dikeluarkan di kilang Mitsubishi Krama Yudha di Cikarang, Indonesia. Ia akan dijual di negara itu bermula hari ini (13 November 2019) sebelum dieksport ke seluruh ASEAN.

Previous post

Petronas Menganjurkan Simposium Bendalir Kenderaan Elektrik Di Turin

Next post

Honda Dash 125 (2020) Hadir Dengan Pilihan Warna Baharu

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *