Berita Auto

MINI Clubman Facelift Dilancarkan di Malaysia

MINI Malaysia hari ini melancarkan model enam pintu terbaru mereka iaitu MINI Clubman yang hadir dalam varian Cooper S.

MINI Clubman Malaysia

Ditawarkan pada harga RM298,888 (harga atas jalan tidak termasuk insurans), model ini didatangkan dengan jaminan pengeluar empat tahun tanpa had perbatuan dan pakej servis berjadual.

Sebagai model facelift, Clubman tampil dengan wajah yang lebih segar dengan lampu hadapan LED baharu lengkap dengan kemasan Piano Black dan kontur heksagon pada jeriji. Lampu belakang pula hadir dengan grafik Union Jack yang menarik.

Ia ditawarkan dalam warna merah (Indian Summer Red), hijau (British Racing Green), putih (Pepper White), kelabu (Thunder Grey), perak (Melting Silver) dan biru (Starlight Blue).

Masuk ke bahagian dalaman, Clubman disumbat dengan pelbagai kelengkapan MINI Yours seperti upholsteri kulit Nappa pada stereng dan tempat duduk, serta pencahayaan ambien berwarna Frozen Blue.

Selain itu, terdapat juga corak dan sulaman berwarna aluminium dan hitam serta rekaan label MINI Yours pada tingkap sisi.

Sistem infotainmen merangkumi paparan skrin sentuh berukuran 6.5 inci dengan teknologi sim 4G terintegrasi MINI Connected yang memberikan akses kepada pelbagai perkhidmatan dalam talian. Sistem ini dipadankan dengan sistem audio Harman Kardon dengan 12 pembesar suara.

Di bawah, Clubman Cooper S hadir dengan enjin TwinPower Turbo 2.0-liter yang menjana 192 hp dan 280 Nm. Dengan transmisi automatik dwi-klac sport tujuh kelajuan, ia mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 7.2 saat dan mencapai kelajuan maksimum 228 km/j. Penggunaan bahan api adalah 6.2 liter bagi setiap 100 km, manakala pelepasan emisi CO2 adalah 141 g/km.

Seperti tawaran MINI yang lain, Clubman didatangkan dengan program Bantuan Tepi Jalan untuk tempoh lima tahun yang merangkumi bantuan kemalangan 24 jam, 365 hari setahun, talian bantuan dan kecemasan, servis tunda percuma dan kenderaan ganti sekiranya perlu.

Dengan Balloon Financing daripada BMW Group Financial Services Malaysia, Clubman boleh menjadi milik anda dengan ansuran bulanan bermula RM3,418 (berdasarkan anggaran pinjaman sebanyak 80% bagi tempoh lima tahun).

Previous post

Honda CBR1000RR-R Fireblade Sarat Teknologi MotoGP

Next post

MINI JCW Countryman dan JCW Clubman Kini Mempunyai 306HP

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *